Penerbangan Kargo Perdana Pos Malaysia KLIA-Tawau Bermula Esok

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) menerusi anak syarikatnya Pos Asia Cargo Express (Pos ACE) melancarkan penerbangan kargo sulung mereka langsung dari Kuala Lumpur ke Tawau, bermula esok.

Ketua Pegawai Operasi Pos ACE Faiz Jabbarullah berkata, menerusi pelancaran itu, pihaknya bakal menjadi syarikat penerbangan tunggal yang menyediakan perkhidmatan pesawat kargo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Tawau (LTT).

“Perkembangan permintaan produk perikanan dan makanan laut di Tawau yang semakin mendapat permintaan tinggi menjadi pemangkin kepada operasi penerbangan pesawat kargo ini.

“Sudah tentu kami berbangga kerana menjadi antara pendukung perkembangan ekonomi Tawau yang terkenal dengan produk hasil laut berkualiti,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambah Faiz, pihaknya menggunakan Pesawat Pengangkut B734-400 yang mampu membawa kapasiti muatan sehingga 18 tan bagi setiap perjalanan.

“Sebanyak enam penerbangan pergi balik KLIA-LTT-KLIA dalam tempoh seminggu atau 24 penerbangan sebulan.

“Dengan kekerapan penerbangan itu, sudah tentu dapat membantu pengusaha atau pembekal makanan laut di Tawau meningkatkan jumlah penghantaran serta jualan ke Semenanjung,” katanya.

Menurut Faiz, dengan pelancaran sektor baharu itu, ia menjadi antara langkah Pos ACE untuk terus berkembang dan bersaing dalam industri kargo udara negara pada masa akan datang.