Penerbangan Air Busan Tingkat Kemasukan Pelancong Korea Di Sabah

349
Jung (tiga kiri) menyampaikan cenderamata kepada Christina (tiga kanan) selepas Sidang Media berkenaan.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kemasukan pelancong Korea di Sabah dijangka akan meningkat kepada 70 hingga 80 peratus apabila penerbangan langsung dari Daegu dan Busan ke Kota Kinabalu mula beroperasi pada pertengahan Mei ini.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, pelancong Korea merupakan penyumbang kedua terbesar kepada sektor pelancongan Sabah selepas pelancong China.

Pada tahun lalu, 55 peratus daripada pelancong yang berkunjung ke Sabah adalah dari Korea Selatan.

Jumlah itu dijangka meningkat kepada 70 hingga 80 peratus apabila penerbangan langsung Syarikat Penerbangan Air Busan dari Daegu dan Busan ke Kota Kinabalu mula beroperasi pada 15 dan 22 Mei ini.

Christina berkata, kemasukan pelancong yang ramai ini dilihat akan terus menyumbang kepada perkembangan ekonomi Sabah secara keseluruhannya.

Katanya, industri pelancongan begitu dinamik kerana impaknya melibatkan banyak kelompok termasuk pengusaha kraftangan, hotel, restoran, pengangkutan mahupun kedai cenderamata.

”Tahun ini, Sabah menyasarkan ketibaan pelancong seramai 4 juta orang.

”Dalam tempoh tiga bulan pertama ini, Sabah menerima lebih 1 juta orang pelancong dan ia meningkat 9.1 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu,” katanya semasa Sidang Media sempena penerbangan sulung Air Busan dari Daegu dan Busan ke Kota Kinabalu.

Penerbangan langsung dari Daegu ke Kota Kinabalu adalah sebanyak empat kali seminggu. Manakala, penerbangan dari Busan ke Kota Kinabalu adalah setiap hari.

Menurutnya, usaha mempromosikan Sabah kepada pelancong China, Korea, Jepun dan Eropah akan diteruskan agar lebih banyak pelancong datang ke Sabah.

Dengan perluasan landasan lapangan terbang di Sandakan, kerajaan menyasarkan untuk membawa lebih banyak pelancong Eropah ke Sandakan dan Tawau.

Christina berkata, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan untuk membangunkan Sanktuari Tenggiling di Taman Bukit Tawau.

Pelancong dari Korea. – Gambar hiasan saja

Beliau berkata, pelancong Eropah gemarkan sanktuari sebegitu dan usaha akan dilakukan bagi mempromosikan Sandakan dan Tawau kepada pelancong Eropah.

Katanya, nasihat perjalanan dikeluarkan Amerika Syarikat menyumbang kepada kurangnya pelancong Eropah. Nasihat perjalanan itu meninggalkan persepsi bahawa Pantai Timur Sabah tidak selamat.

Jika dilihat Semporna hanya sebahagian kecil dari Sabah. Negeri ini mempunyai banyak tempat-tempat lain yang menarik.

Sekiranya pelancong berkunjung ke sanktuari beruang madu dan gajah pygmy di Sandakan, mereka akan melihat kelainan yang ada di Sabah.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Syarikat Penerbangan Air Busan Jung Sang Bong berkata, menerusi penerbangan langsung itu, lebih banyak pelancong Korea akan datang ke Sabah, begitu juga sebaliknya.

Katanya, Sabah dipilih sebagai destinasi Air Busan kerana matahati terbenam di Sabah antara yang tercantik di dunia.

Malah, pelancong Korea juga gemarkan aktiviti laut dan Sabah mempunyai banyak pulau untuk melakukan aktiviti sebegitu.