Penerapan Sains Sukan Mampu Lahir Atlet Elit, Phoong

Phoong Jin Zhe (dua kanan) menerima Modul Kursus daripada Rajeswari Raman sambil disaksikan oleh Mohd Asneh Mohd Noor (kiri) dan Pensyarah UMS Dr. Mohd Nizam Bin Nazaruddin (kanan).

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Penerapan Sains Sukan dalam kaedah kejurulatihan dilihat sebagai elemen penting yang akan membantu melahirkan atlet elit pada masa akan datang.

Menteri Belia dan Sukan Phoong Jin Zhe berkata, pendedahan awal terhadap atlet mengenai aspek sains, perubatan dan teknologi sukan amat penting dalam penyediaan atlet elit.

Beliau berkata, tanpa aplikasikan sains sukan, jurulatih hanya menjalankan latihan mengikut perasaan atau `instinct’ sendiri sahaja.

“Jika atlet itu berlatih dengan teknik yang betul atau tidak, tidak diketahui kerana pencapaian atlet hanya dapat dinilai menerusi penyertaan dalam kejohanan. Oleh itu, banyak usaha dan masa atlet atau jurulatih dibazirkan begitu sahaja,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutupan Kursus Sains Sukan Tahap 1 – Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) 2019, baru-baru ini.

Phoong berkata, melalui kursus sains sukan sebegitu ia dapat mengiktiraf jurulatih yang berkelayakan melalui Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK).

Phoong Jin Zhe (duduk depan lima kiri) dan Mohd Asneh Mohd Noor bersama para pegawai dan peserta Kursus Sains Sukan Tahap 1 – SPKK 2019 di Mini Auditorium, Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS baru-baru ini.

“Apa yang penting adalah jurulatih perlu mengaplikasikan sains sukan dalam program latihan masing-masing. Jika hanya menghadiri kursus semata-mata untuk mendapatkan sijil tetapi tidak aplikasikan apa yang dipelajari, maka tidak akan tercapai objektif yang ditetapkan,” ujarnya.

Beliau berkata, objektif penganjuran kursus itu antara lain adalah untuk melatih, melengkap dan meningkatkan pengetahuan jurulatih dalam bidang sains sukan sejajar usaha mempertingkatkan lagi prestasi dan pencapaian sukan negara menerusi kaedah latihan yang lebih saintifik dan bersistematik.

Menurutnya, langkah membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat perlu bermula ketika usia muda. Pendekatan melalui aktiviti sukan dan pendidikan jasmani di sekolah perlu dipertingkatkan untuk mengenalpasti bakat-bakat muda yang berpotensi untuk digilap.

“Sejak beberapa tahun yang lalu, kita menyedari bahawa sains sukan memainkan peranan penting dalam industri sukan. Setiap aspek dikaji secara saintifik dan dihubungkaitkan untuk meningkatkan prestasi atlet menerusi latihan bersistematik,” jelasnya.

Phoong turut melahirkan penghargaan terhadap Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) serta Universiti Malaysia Sabah (UMS) atas kerjasama menjayakan kursus selama lima hari itu.

Seramai 84 peserta telah berjaya menamatkan jKursus Sains Sukan yang diadakan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, UMS pada 24-28 Jun lalu.

Turut hadir dalam majlis penutupan itu adalah Pengarah MSN Sabah Mohd Asneh Mohd Noor dan Pegawai Institut Sukan Negara Rajeswari Raman.