Penemuan Jenis Ikan Baharu Bantu Tingkat Hasil Sektor Perikanan

629

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Kejayaan seorang pengusaha penternakan ikan melahirkan kacukan ikan kerapu yang dikenali sebagai ‘eko-kerapu’ dilihat akan membantu meningkatkan lagi hasil sektor perikanan di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, kacukan seumpamanya yang pertama di dunia ini bukan hanya membolehkan ikan itu dipasarkan di pasaran tempatan tetapi juga pasaran antarabangsa.

“Ini merupakan usaha meningkatkan sektor perikanan di peringkat negeri supaya bukan hanya menjadi perintis penemuan jenis ikan baharu tetapi juga berupaya menternak dan membantu pembiakan ikan berkenaan.

“Kerajaan amat menggalakkan usaha sebegini kerana ia bukan hanya boleh memenuhi keperluan tempatan, pada masa akan datang, ia boleh dieksport ke luar negara.

“Kita yakin usaha seperti ini akan membantu meningkatkan hasil negeri dalam sektor perikanan disamping membuka peluang perniagaan dalam aspek pengangkutan dan pembungkusan,” katanya semasa Majlis Pengenalan ikan ‘eko-kerapu’, di Dewan Undangan Negeri Sabah, di sini pada Rabu.

Shafie berkata, pengusaha ternakan ikan ini mengambil masa selama tiga hingga lima tahun untuk menghasilkan ikan kacukan kerapu ini.

Katanya, ini kejayaan yang amat dialu-alukan dan digalakkan agar penemuan kacukan sebegitu boleh dipertingkatkan. Langkah sebegini boleh membantu masyarakat dalam menternak ikan yang lebih berkualiti.