Penempatan Semula 383 Mangsa Kebakaran Kampung Bangau-Bangau, Semporna Dikenalpasti

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) telah mengenal pasti penempatan baharu bagi menempatkan mangsa terjejas kebakaran di Kampung Bangau-Bangau, Semporna.

Menterinya, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penempatan semula telah dikenalpasti untuk menempatkan 383 orang Ketua Isi Rumah (KIR) selepas 233 buah rumah musnah akibat kebakaran.

Maklumat ini telah dikemukakan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pelaksana yang telah dilantik oleh Kerajaan Negeri bagi melaksanakan projek penempatan semula ini.

Sementara itu, bagi mangsa-mangsa kebakaran Kampung Simunul, seramai 189 ketua isi rumah telah ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bubul Ria secara sewa.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Belanjawan Negeri 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Jamil Hamzah mengenai penempatan semula mangsa kebakaran di Semporna.

Menurut Masidi, pemilikan PPR di Sabah masih kekal berstatus sewa yang dikhaskan untuk rakyat berpendapatan rendah.

Beliau berkata, rumah PPR dianggap sebagai tempat tinggal sementara sehingga mereka mampu memiliki rumah yang lain. Apabila mereka berpindah, rumah PPR yang dikosongkan boleh disewa oleh keluarga yang lain.

Menjawab pertanyaan ADUN Kukusan, Rina Jainal, beliau berkata, kerajaan tidak merancang untuk membina PPR di kawasan Airport lama Tawau.

Mengenai permohonan penduduk setinggan di DUN Elopura pula, Masidi berkata, Majlis Perbandaran Sandakan telahpun menjalankan bancian di kawasan tersebut dan didapati terdapat 109 buah rumah yang terlibat.

Bilangan rumah warganegara adalah sebanyak 89 buah rumah dan sebanyak 20 buah rumah bukan warganegara.

Pihak Majlis telah mengambil maklum dan mempertimbangkan untuk penduduk warganegara yang terlibat dengan perobohan tersebut ditempatkan di mana-mana PPR di daerah Sandakan.

Namun, semua lot rumah PPR yang sedia ada telah penuh tapi, sekiranya akan kekosongan pada kemudian hari, mereka akan diberi keutamaan untuk menduduki rumah PPR berkenaan.