Penduduk Tinusa Mohon Pembelaan KM Bantu Selesaikan Masalah Tanah

1042
Syamsuddin Baco,bersongkok putih, dan Erwin @ Batilis bin Jaraman, kanan, sedang bercakap dengan media pada Isnin.

SANDAKAN: Penduduk Kampung Tinusa 1 di sini memohon pembelaan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk membantu menyelesaikan masalah tanah mereka yang dikatakan telah ‘dimiliki’ oleh individu lain.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Generasi Endrekang Sabah Erwin @ Batilis Jaraman berkata masalah penduduk kampung itu bermula sejak awal 2000-an apabila mengetahui tanah mereka berstatus anak negeri (NT) seluas 2.07 hektar, yang dihuni 23 keluarga, turut dimiliki individu lain dengan status pegangan pajakan (CL).

Malah, penduduk berkenaan telah menerima notis daripada peguam pihak lawan yang menyebut Mahkamah Tinggi telah memerintahkan pada 4 Dis lepas agar penduduk kampung terbabit mengosongkan kawasan itu mulai 27 Dis lepas hingga hari ini (7 Jan).

“Mereka (penduduk) bukanlah penceroboh. Mereka adalah bumiputera dan tanah ini hak mereka kerana nama pengguna tanah ada atas kertas.

“Kami juga tidak tahu bila status tanah boleh bertukar dari NT kepada CL. Jadi, persatuan kami memohon agar kerajaan membantu penduduk kampung ini, yang majoriti anggota persatuan kami, daripada ditindas,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan penduduk kampung itu hari ini (Isnin, 7 Januari 2019) bagi memohon kerajaan mengiktiraf hak mereka ke atas tanah itu.

Erwin juga berkata kes itu telah beberapa kali dibawa ke mahkamah untuk penyelesaian, namun gagal mendapat pembelaan.

Wakil penduduk kampung berkenaan Haji Samsuddin Bacho, 76, berkata penduduk berkenaan kini kehabisan sumber untuk melantik peguam dan menuntut keadilan di mahkamah.

“Kami sudah menetap di sini sejak 30 tahun lalu. Kami beli tanah ini dan ada bukti pembelian,” katanya.