Penduduk Terlibat Empangan Kaiduan Temui Shafie Serah Bantahan

1695
Diana dan wakil penduduk dan ketua kampung yang hadir bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Menteri di DUN Sabah, di sini pada Isnin

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Usaha sekumpulan 25 orang penduduk kampung yang ingin menyerahkan memorandum bantahan pembinaan Empangan Kaiduan kepada Kerajaan Sabah berhasil apabila mereka berpeluang menemui Ketua Menteri di sini, pada Isnin.

Walaupun tidak berpeluang berbincang lama dengan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal namun, mereka berjaya menyerahkan dua memorandum bantahan yang turut menyelitkan beberapa cadangan alternatif yang boleh dilaksana kerajaan dalam mengatasi masalah bekalan air di sekitar Pantai Barat Sabah.

Mohd Shafie ketika menerima memorandum itu menyatakan kesediaan kerajaan dalam mendengar masalah yang dikemukakan rakyat dan beliau tidak mahu isu berkenaan dipolitikkan.

Kumpulan yang diketuai Diana Sipail itu merayu agar projek mega Empangan Kaiduan itu dibatalkan kerana ia dilihat akan menjejaskan kehidupan masyarakat yang menetap di kawasan berkenaan.

Diana mewakili penduduk Kampung Timpayasa, Tiku, Babagon Laut, Buayan, Kionop, Terian, Kalanggaan, Pongobonon, Longkogungan, Bisuang, Kaiduan, Bolitikon, Mandalipau, Kundasang dan Kogopon untuk menemui Ketua Menteri di Dewan Undangan Negeri Sabah.

”Kami berharap projek Empangan Kaiduan akan dibatalkan. Kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan alternatif yang kami kemukakan dalam memorandum yang dihantar itu,” katanya.

Diana berkata, penduduk kampung juga turut melahirkan rasa kecewa kerana individu yang memberi cadangan teknikal berkaitan pembinaan projek mega itu tidak bersungguh-sungguh dalam membantu mereka.

Individu yang bersikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ itu kini mengambil pendekatan berdiam diri daripada membela nasib penduduk di kampung yang dijangka terjejas jika pembinaan empangan itu diteruskan.

Katanya, pembinaan projek mega sebegitu akan memberi kesan dan kerosakan kepada biodiversiti serta memberi kesan kepada kehidupan penduduk setempat.

”Apa yang kami harapkan sekarang adalah pembangunan infrastruktur yang baik seperti jalan raya dan jambatan bagi membolehkan kami memperbaiki kehidupan dan pendapatan kami,” jelasnya.