Penduduk Terjejas Di Kawasan DUN Api-Api Dibantu

Oleh PEMBERITA BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Prihatin dengan keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19, usaha mengagihkan bantuan pek makanan kepada penduduk di kawasan DUN Api-Api diteruskan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, Datuk Christina Liew berkata, sumbangan secara peribadi itu diharap dapat membantu meringankan bebanan golongan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Sumbangan pek makanan itu diagihkan menerusi 15 ketua kumpulan yang mewakili setiap 100 orang keluarga di kawasan perumahan dan kampung yang dikenal pasti.

“Saya menerima panggilan telefon bahawa ada keluarga yang sangat memerlukan bantuan makanan. Atas sebab itu, saya mengerakkan pasukan saya untuk membantu mereka yang terjejas ini.

“Dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, ramai golongan yang benar-benar terhehas dan tidak dapat keluar untuk mendapatkan barangan keperluan harian. Ramai antara golongan ini daripada keluarga berpendapatan rendah dan memperoleh gaji harian,” katanya, dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Atas dasar prihatin dengan nasib keluarga yang memerlukan ini, Christina berkata, beliau menggerakkan pasukannya untuk mengagihkan bantuan kepada wakil-wakil ketua kumpulan ini pagi tadi.

Beliau juga memberi jaminan pengagihan bantuan itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah PKPB.

Setiap sukarelawan yang terlibat turut memakai pelitup muka dan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan mengamalkan penjarakan sosial ketika proses agihan pek makanan.