Penduduk Terjejas Banjir Di Penampang Akan Terima Bantuan RM1,000

PENAMPANG: Seramai 937 orang penduduk yang terjejas banjir di daerah ini akan menerima bantuan RM1,000 daripada kerajaan negeri.

Bantuan itu diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor semasa melawat mangsa terjejas banjir di Kampung Sugud hari ini.

Selain bantuan wang tunai, kerajaan negeri juga akan membantu menyediakan bahan yang diperlukan bagi membaik pulih rumah penduduk yang terjejas manakala, 10 buah rumah yang dihanyutkan arus akan dibina semula.

“Ini antara bantuan segera yang kita berikan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir yang berlaku.

“Kita akan memastikan penduduk di daerah ini menerima bantuan daripada kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.

Hajiji berkata, ketika ini, dua pakej projek tebatan banjir di daerah sudah siap dan hanya satu pakej lagi sedang dilaksanakan. Dengan siapnya projek ini, ia akan membantu mengatasi masalah banjir yang berlaku di Penampang.

Malah, beliau sudah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membersihkan saliran yang tersumbat.

Dalam lawatan itu, Pegawai Daerah, Francis Chong turut memaklumkan Kampung Sugud itu antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir lumpur yang berlaku.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, Ir. Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.