Penduduk Sepulut Bimbang Ada Dua Pemaju Bagi Geran Komunal Mereka

Penduduk kampung yang merupakan sebahagian daripada peserta yang mengadakan mesyuarat memohon majlis dialog diadakan.
Penduduk kampung yang merupakan sebahagian daripada peserta yang mengadakan mesyuarat memohon majlis dialog diadakan.

OLEH AMAN KASSIM
NABAWAN: Lebih 200 peserta Geran Komunal Sepulut yang telah mengadakan mesyuarat pada 2 Oktober lepas memohon kepada pihak yang berkenaan agar mengadakan majlis dialog berikutan pelantikan syarikat pemaju yang baru untuk mengurus pelaksanaan kerja-kerja dalam kawasan Geran Komunal berkenaan.

Jurucakap peserta Muhammad Fadhli Starong berkata, sebelum ini syarikat pemaju adalah Mutiara Eramas Sdn. Bhd tetapi sejak bulan Julai lepas syarikat Kilang Harta Hijau Perladangan Kelapa Sawit Sdn. Bhd.

Katanya, peralihan pemaju ini membimbangkan peserta kerana ia ada kaitan dengan perjanjian antara syarikat pemaju dan peserta.

“Perjanjian yang telah dimeteraikan sebelum ini adalah antara Mutiara Eramas Sdn Bhd dan peserta,” katanya kepada media di sini kelmarin.

Muhammad Fadhli berkata, peserta melahirkan kembimbangan apabila pemaju kawasan Geran Komunal itu bertukar tangan kerana salinan perjanjian antara pemaju asal pun tidak diberikan kepada peserta.

“Inilah tujuan kami meminta supaya majlis dialog diadakan yang membabitkan pemaju asal, pemaju baru, peserta dan jabatan-jabatan yang berkaitan untuk merungkai segala perkara-perkara yang berkaitan. Kami tidak mahu pada kemudian hari nanti timbul masalah yang sukar diatasi” jelasnya.

Beliau berkata, banyak lagi perkara yang akan dibangkitkan oleh peserta kalau majlis dialog diadakan termasuklah membantah pengurus syarikat pemaju sekarang yang membawa masuk pekerja-pekerja dari luar.

Selain itu katanya, proses penyenaraian penduduk kampung yang belum tersenarai dalam Geran Komunal juga akan dibangkitkan pada majlis dialog itu nanti.

Tambahnya, mesyuarat juga memutuskan bahawa salinan surat perjanjian antara syarikat pemaju dan peserta diberi kepada setiap peserta sebagai rujukan bersama.