Penduduk Rumah Pangsa Diberi Tempoh 7 Bulan Berpindah

Masiung (dua kanan) bersama pegawai LPPB yang lain semasa sidang media di Pejabat LPPB di sini, hari ini.

KOTA KINABALU: Mengambil kira keadaan bangunan yang tidak lagi selamat diduduki, penghuni Rumah Pangsa Tanjung Aru diberi tempoh sehingga hujung Disember ini untuk berpindah.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Datuk Masiung Banah berkata, keadaan struktur bangunan yang tidak selamat diduduki dan sering mengalami kebocoran menyebabkan pihak LPPB memutuskan untuk meminta penduduk berpindah dalam tempoh yang ditetapkan.

“Notis makluman ini dikeluarkan lebih awal bagi memberi masa yang cukup kepada penghuni untuk berpindah.

“Kita faham situasi semasa yang agak menekan dan tidak sesuai apatah lagi keupayaan penghuni mencari rumah sewa dalam keadaan pandemik Covid-19 ini. Tapi, pada masa sama LPPB selaku pemilik bangunan bertanggungjawab ke atas keselamatan penghuni.

“Kami tidak mahu jika ada apa-apa insiden berlaku pada masa akan datang LPPB yang akan dipersalahkan. Atas sebab itu, kita memberi peringatan awal,” katanya semasa sidang media berhubung isu Rumah Pangsa Tanjung Aru, di Pejabat LPPB hari ini.

Rumah pangsa ini mempunyai 11 blok flat lima tingkat yang dihuni oleh seramai 315 orang penyewa dan 12 penyewa rumah kedai.

Masiung turut meminta kerjasama penghuni agar memberi kerjasama untuk berpindah dalam tempoh yang diberikan kerana LPPB turut berdepan kekangan kewangan kerana tiada peruntukan daripada kerajaan persekutuan dan negeri untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku.

Sementara itu, Pengurus Besar LPPB, Rosemary Ahping berkata, pihaknya turut menawarkan rumah kosong di tempat lain yang dikendalikan oleh LPPB  kepada penghuni yang diberi keutamaan untuk berpindah.

“Keutamaan kita berikan kepada mereka yang sudah berpencen, Orang Kelainan Upaya (OKU), ibu tunggal untuk berpindah ke rumah program perumahan rakyat (PPR) LPPB.

“Setakat ini 23 orang telah ditawarkan untuk berpindah namun hanya enam yang menerima tawaran itu,” ujarnya.

Bangunan rumah pangsa ini dibina sejak 1970an dan sudah berusia 50 tahun maka, kebanyakan struktur bangunan semakin uzur dan tidak selamat untuk diduduki. Struktur, dinding dan lantai sudah mula mengalami keretakan dan atap juga mula mengalami kebocoran.

Saluran paip air dan saluran najis juga sudah berulang kali mengalami kebocoran.