Penduduk Pulau Sakar Hargai Sumbangan Lembu Oleh Esscom

OLEH ARDYHANSAH AMAT
LAHAD DATU: Penduduk Pulau Sakar terharu selepas dipilih menerima dua ekor lembu daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) untuk dikorbankan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, di sini, hari ini.

Lebih manis lagi, ia sumbangan pertama yang diterima penduduk kampung berkenaan daripada pihak luar dalam tempoh 20 tahun.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Kampung, Kampung Pulau Sakar Lok Terusan, Abdul Razak Halmain.

“Sudah tentu penduduk gembira apabila buat pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun saya menjadi Ketua Kampung, menerima sumbangan tersebut.

“Kami difahamkan, ia hasil kutipan derma daripada pegawai dan kakitangan Esscom sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Razak mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan Esscom terhadap penduduk di pulau berkenaan.

Terdahulu, Pengarah Khidmat Keurusetiaan Esscom Raymie Amiril dalam ucapannya berharap agar penduduk sekitar Pulau Sakar sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani masalah jenayah rentas sempadan.

“Ini termasuk melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sentiasa mencari peluang melakukan penyeludupan dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, dalam majlis berasingan, seramai 50 anggota Esscom mengadakan gotong royong menyembelih dan melapah dua ekor lembu di perkarangan Markas Pasukan Polis Marin, di sini, semalam.

Timbalan Komander Esscom Bridged Jeneral Adnan Abu Hassan daging korban tersebut diagihkan kepada tiga pihak iaitu penyumbang, petugas dan golongan asnaf sekitar daerah ini.

“Saya melihat ibadah ini membolehkan warga Esscom melaksanakan tuntutan agama dalam suasana kekeluargaan selain merapatkan hubungan memandangkan kami terdiri daripada pelbagai cabang perkhidmatan iaitu Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan badan awam,” katanya.