Penduduk Puji Tindakan Pantas DAP Pensiangan Hulur Bantuan Banjir

Oleh KEE HELMEY KEE ZAINAL
PENSIANGAN: Tindakan pantas DAP Pensiangan dalam menyalurkan bantuan kilat kepada 35 keluarga penduduk kampung yang terjejas akibat banjir besar di Sook pada Rabu, mendapat pujian dan penghargaan dari mangsa yang terlibat.

DAP Pensiangan melalui dua penyelaras Sook dan Tulid, Clare Taunek dan Robinson Rusikan bersama lapan orang ahli, turun meninjau dan membawa beberapa barangan keperluan dapur kekawasan yang paling teruk terjejas.

Robinson Rusikan

“Ini merupakan satu tindakan yang pantas dan satu inisiatif yang dapat kami sumbangkan kepada penduduk kampung walaupun bantuan makanan keperluan asas ini tidak seberapa nilainya,” kata Clare.

Menurutnya, pasukannya akan terus membuat pemantauan dan terus menyalurkan bantuan walaupun sumbangan yang diberikan cuma bersifat sederhana namun ianya memberi makna yang besar kepada penduduk kampung yang ketika ini sangat-sangat memerlukan bantuan makanan asas.

Seorang penduduk yang terlibat di Kg Kiulu baru, Julikis Daimis berkata, beliau merasa sangat terharu dan bersyukur kerana pihak DAP sudi menghulurkan bantuan barangan dapur.

Menurut beliau banjir yang berlaku semalam telah mengakibatkan beliau mengalami kerugian yang besar kerana hasil tuaian getah beliau yang di kumpul selama enam tahun hanyut bersama banjir.

Dalam kejadian semalam hampir lapan buah kampung dan dua buah sekolah telah di landa banjir berikutan hujan lebat tanpa henti sejak semalam.