Penduduk Pinambawan Hargai Usaha Selesaikan Masalah Bekalan Air

Oleh SURAIDAH ROSLAN
TUARAN: Projek menaik taraf kawasan tadahan air graviti di Kampung Pinambawan membolehkan 316 buah keluarga menarik nafas lega apabila masalah bekalan air yang dialami akhirnya mendapat perhatian kerajaan.

Pengumuman Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau mengenai projek penaiktarafan itu baru-baru ini disambut baik oleh penduduk di kampung berkenaan.

ABDUL RAHIM

Ketua Kampung Pinambawan 1, Abdul Rahim Tehe, 68,  berkata, masalah bekalan air yang dihadapi di kampung itu bukan baru setahun dua, tetapi telah berlarutan sejak sekian lama.

“Keprihatinan Datuk Seri Madius untuk membantu menyelesaikan pekara ini amat kami hargai. Malah saya juga melihat beliau turun padang untuk sama-sama mendaki bukit lebih sejam untuk melihat kawasan tadahan air graviti yang perlu dinaiktaraf.

“Kami sangat terharu dengan komitmen yang diberikan, penyelesaian ini sudah pasti melegakan lebih 316 keluarga yang ada di keseluruhan kampung ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

MADJAIT DAIP

Bagi Ketua Kampung Pinambawan 2, Madjait Daip, 55, beliau memaklumkan penyelesaian itu umpama sebuah hadiah menjelang Hari Raya Aidilfitri kepada  masyarakat kampung.

“Projek ini kita tahu akan sedaya upaya disiapkan sebelum sambutan Hari Raya.  Kita harapkan segalanya berjalan lancar, dan sekiranya terdapat sedikit kelewatan kita memahami atas faktor pandemik Covid-19 yang melanda negara sekarang.

“Namun yang lebih penting adalah masalah yang dihadapi sejak sekian lama oleh penduduk kampung di sini akhirnya berjaya diselesaikan,” katanya.

SITI HALIZA

Seorang lagi penduduk kampung yang ditemui, Siti Haliza Ali, 27, turut melahirkan rasa gembira atas projek penyelesaian masalah terhadap keperluan asas harian itu.

“Pada ketika ini, tidak kira hari-hari biasa atau semasa bulan puasa, saya  mengisi 70 gelen air untuk dibawa balik ke rumah untuk keperluan seperti memasak, mandi dan sebagainya.

“Jadi selepas ini semuanya akan lebih mudah sekiranya bekalan air sudah boleh dinikmati di semua rumah penduduk kampung,” ujarnya.

Terdahulu, Madius serta pemimpin komuniti kampung telah mengadakan lawatan bersama pembekal yang dilantik ke tapak tadahan air graviti.

Menurut beliau penyelesaian akan meliputi sumber air graviti, sistem perpaipan dan penyediaan beberapa tangki besar bagi menampung keperluan penduduk.

“Saya telah meminta pembekal untuk memastikan projek ini benar-benar dibuat dengan baik dan berkualiti. Itulah sebabnya saya membawa dia bersama dengan pemimpin kampung untuk mendaki bukit serta melihat kawasan tadahan untuk memaklumkan kepadanya perkara-perkara yang harus dibuat.

“Saya juga meminta ketua-ketua kampung membuat satu peraturan untuk tujuan penyeliaan bekalan air. Saya meminta mereka menubuhkan jawatankuasa kerana tidak mahu lagi ada penduduk yang pergi menebuk tangki utama seperti yang berlaku sebelum ini.

“Jika ada berlaku, jawatankuasa ini yang akan mengambil tindakan tegas berdasarkan peraturan yang telah digariskan,” katanya.