Penduduk Mumiang Gesa Kerajaan Kaji Semula Dasar Pengumpulan Sampel

mumi2

KINABATANGAN – Setelah dua kali mengalami kerugian dalam masa 10 bulan apabila ikan ternakan dalam sangkar mati dipercayai akibat pencemaran sungai, penduduk-penduduk di tapak Ramsar terbesar di Malaysia meminta kerajaan mengkaji semula dasar berkaitan pengumpulan sampel air dan bahan relevan yang lain.

Antara syor yang dikemukakan adalah agensi yang diamanahkan dengan tugas untuk menyiasat kes itu supaya mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) kerana kelewatan dalam mengambil sampel tidak membantu langkah pencegahan atau penguatkuasaan berhubung masalah itu.

Pada Julai lepas, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Mumiang Mada Hussin berkata sebanyak 45 keluarga mengalami kerugian beribu-ribu ringgit apabila empat tan ikan ternakan seperti kerapu dan jenahak mati di dalam sangkar.

“Sesetengah ikan sangkar bernilai sehingga RM50 sekilogram, yang menjadi aktiviti alternatif lumayan bagi penduduk kampung yang secara tradisinya bergantung kepada kegiatan menangkap ikan. Tetapi kini mereka tidak lagi dapat berbuat demikian apabila ikan semakin berkurangan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau mendakwa hasil daripada penyelidikan terhadap sampel air dan ikan, yang diambil Jabatan Perikanan Negeri, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan Jabatan Alam Sekitar Persekutuan berikutan kes disyaki mempunyai kaitan dengan pencemaran pada November tahun lepas dan dua bulan lepas, tidak dikongsi dengan nelayan di Kampung Mumiang.

“Dialog perlu diadakan dengan agensi berkenaan agar kami dapat bekerjasama dan mengkaji kemungkinan melantik warden kualiti air daripada kalangan anggota masyarakat.

“Kami cadangkan stesen persampelan ditubuhkan supaya warden komuniti dapat mengambil sampel dengan cepat. Kami juga perlu tahu bagaimana data yang dikumpul masyarakat boleh diiktiraf.

“Agensi berkenaan perlu lebih kerap mengumpul sampel. Kehilangan biodiversiti akuatik di Hilir Kinabatangan merupakan isu yang memberi kesan terhadap kami dan ia begitu dekat di hati kami,” kata Mada.

Setelah mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM100,000 pada November lepas, penduduk kampung itu menerima benih ikan daripada kerajaan menerusi mekanisme subsidi dan jumlahnya ditambah melalui pembelian secara sendiri.

Mada Hussin
Mada Hussin

“Sekarang, kebanyakan benih baharu itu telah musnah. Kami hanya sempat menyelamatkan sejumlah kecil ikan apabila mendapati ada sesuatu yang tidak kena,” katanya.

Mada percaya bahawa Sungai Malangking, anak sungai kepada Sungai Kinabatangan, telah dicemari bahan buangan daripada ladang sawit yang berlaku semasa hujan lebat.

Laluan air itu kemudian bertukar kepada warna hijau muda, yang menunjukkan airnya mengandungi banyak alga dan sekali gus memberi kesan terhadap ikan yang dipelihara di dalam sangkar di bahagian hilir.

Dalam reaksinya terhadap kejadian di Kampung Mumiang itu, ketua fasilitator Projek Kumpulan Komuniti Ramsar Neville Yapp berkata perkara yang menjadi fokus utama dalam projek itu adalah kualiti air.

“Kami amat mengharapkan sokongan kerajaan dalam hal ini termasuk bagaimana data yang dikumpul masyarakat boleh diiktiraf sebagai sah. Kami telah mengenal pasti penubuhan empat unit pemantauan kualiti air pada masa akan datang di bawah projek ini,” katanya.

Projek Kumpulan Komuniti Ramsar terletak di bawah Forever Sabah, suatu kerjasama ekologi yang berusaha untuk menterjemahkan wawasan inovatif untuk Sabah kepada penyelesaian yang mampu dilaksanakan.

Mumiang, yang terletak di bahagian hilir Kinabatangan Segama Wetlands, tidak dapat dihubungi melalui jalan raya dan kira-kira satu jam perjalanan dengan bot laju dari bandar Sandakan.

Mada berkata penduduk kampung itu tidak mempunyai pilihan selain terus memelihara ikan di dalam sangkar walaupun terus berdepan dengan risiko kehilangan ikan pada masa akan datang.

“Ini sesuatu yang amat membimbangkan kami kerana hampir tiada kerja lain yang boleh kami lakukan di sini untuk mencari rezeki. Kami mempunyai keluarga untuk disara dan diberi makan,” katanya.