Penduduk Mukim Mantob Kumpul Dana Bantu Jiran Tetangga

Penyerahan bantuan kepada salah seorang penerima OKU. Turut kelihatan John (kanan).

TUARAN: Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Begitulah perumpamaan yang sesuai bagi penduduk Mukim Mantob Ulu Kiulu dalam membantu jiran tetangga yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mereka yang terdiri daripada sekumpulan 15 penduduk di mukim itu mengambil inisiatif mengumpul dana bersama, dengan menyumbang wang ringgit seikhlas hati.

Ketuanya John Wayne Linggang ketika ditemui berkata, sebanyak Rm4,000 berjaya dikumpul untuk didermakan kepada golongan ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan miskin tegar di mukim berkenaan.

“Kita mengambil inisiatif ini sebagai tambahan daripada sumbangan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Kita juga telah memohon dan kemudian mendapat surat kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Tuaran untuk menjalankan agihan bantuan ini,” katanya.

Menurut John, pengagihan bantuan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kita menggunakan penutup hidung dan mulut serta memastikan jarak sosial sekurang-kurangnya satu meter.

“Ini bagi memastikan sebarang kemungkinan berlakunya penularan wabak Covid-19,” jelasnya.