Penduduk Lega, Ketua Menteri Berkongsi Bebanan Dilanda Banjir

Ketua Menteri sempat bertanya keadaan Matbul yang berada di PPS Dewan Masyarakat Tun Said.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA BELUD: Di sebalik kerisauan akibat bencana banjir yang melanda, masih ada senyuman gembira terukir di wajah penduduk kampung yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) ketika menerima kunjungan Ketua Menteri.

Kehadiran Datuk Seri Panglima Mohd. Shafie Apdal yang datang melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Tun Said ternyata melegakan penduduk kampung yang berada di situ.

NORHAIDAH UKKA

Keprihatinan Mohd. Shafie turun padang bagi melawat mangsa-mangsa dilanda banjir amat dihargai.

“Saya cukup gembira dan puas hati kerana YB Ketua Menteri ambil berat dan ketahui sendiri masalah rakyat.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih. Mudah-mudahan bencana ini tidak berterusan lagi. Ini banjir yang paling teruk pernah saya alami setakat ini,” kata Matbul Saidil, 66, dari Kampung Tanjung Wakap.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Lawatan Ketua Menteri ke PPS Dewan Masyarakat Tun Said, di sini semalam.

Pesara tentera yang diserang strok itu berkata, sebelum ini banjir hanya setakat lantai rumah sahaja, tetapi kali ini, air naik begitu cepat hingga masuk ke dalam rumah.

Katanya, beliau tidak menyangka banjir pada malam Sabtu itu begitu teruk kerana sebelah petang tiada sebarang petanda air sungai akan naik.

“Namun dalam sekelip mata air sudah naik. Lebih kurang 11 malam air sudah masuk satu kaki dalam rumah, ketika itu saya berada di rumah bersama isteri dan tiga anak,” katanya.

Tambahnya, mungkin disebabkan laluan ke rumah mereka sudah dinaiki air, pasukan penyelamat hanya datang membawa mereka ke PPS pada 7 pagi, keesokan harinya.

“Pada 7 pagi baru ada kereta pacuan empat roda masuk ke kawasan ini. Saya berasa kecewa kerana sudah semalaman kami menunggu. Tapi, saya faham mungkin ada kekangan di pihak pasukan penyelamat,” ujarnya.

NORHAIDAH UKKA

Turut merasa gembira atas keprihatinan Ketua Menteri berkunjung ke PPS itu adalah Norhaidah Ukka, 30, dari Kampung Siasai.

Norhaidah berkata, beliau amat bersyukur dalam mereka berdepan kesukaran, Ketua Menteri sudi turun melihat keadaan mereka di situ.

Katanya, biarpun kawasan mereka sering berlaku banjir namun, kali ini banjir agak luar biasa kerana paras air boleh mencecah bahunya.

“Masa air mula naik, memang saya panik kerana tiba-tiba sahaja air sudah masuk dalam rumah. Biarpiun sebelum ini air masuk rumah tapi ini yang teruk betul. Kalau dulu sampai paras lutut, kali ini sampai bahu.

“Jadi kami minta tolong jiran-jiran untuk menghantar kami ke PPS. Semasa air mula naik hanya kami tiga beranak berada di rumah dalam keadaan ketakutan, suami masih berada di luar ketika itu,” ujarnya.

Norhaidah berharap selepas banjir reda, ada pihak yang menghulurkan bantuan kepada mereka kerana barangan keperluan semuanya habis ditenggelami banjir.

Lawatan Ketua Menteri ke Kampung Linau/Liang turut disambut baik penduduk kampung berkenaan.

MAKSUL MANANG

Ketua Kampung, Maksul Manang,60, melahirkan penghargaan atas kesudian Ketua Menteri singgah ke rumahnya ketika melawat kawasan banjir di daerah ini.

“Tidak sangka YB akan singgah selepas melawat sungai di kawasan kampung ini. Tidak pernah kami dilawat oleh Ketua Menteri sebegini. Kami bersyukur kerana beliau amat prihatin dengan masalah dihadapi rakyat di sini,” ujarnya.

Abangnya Makbul Manang yang tinggal bersebelahan rumah juga agak terkejut menerima lawatan mengejut sebegitu.

Biarpun rumahnya agak usang, Ketua Menteri sudi untuk bertandang dan bertanya masalah mereka yang dilanda banjir.