Penduduk Kg Ponopuan Mahu Hutan Simpan Dibubar Untuk Perkampungan

KOTA BELUD: Penduduk kampung di Kg Ponopuan di sini menyuarakan permintaan dan desakan mereka agar Kerajaan Negeri hari ini meneruskan dasar kerajaan terdahulu membubarkan Hutan Simpan bagi mengeluarkan tanah perkampungan.

Wakil penduduk, Aloysius Pindeh, menyatakan demikian semasa pertemuan mereka dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick hari ini.

Menurut Aloysius, perkampungan mereka telah wujud sejak pertengahan tahun 1974 namun sehingga kini tidak mendapat bekalan elektrik dan air daripada kerajaan kerana berada dalam kawasan Hutan Simpan.

Hampir semua penduduk di kampung ini mengusahakan tanaman getah turut menyuarakan kebimbangan akan kehilangan punca pendapatan sekiranya kawasan perkampungan dan pertanian mereka terus berada dalam kawasan Hutan Simpan tersebut.

Aloysius menyatakan bahawa Jabatan Perhutanan Sabah turut mengenakan syarat sewa laluan bekalan elektrik di luar kemampuan penduduk ke lebih 20 buah rumah yang berada dalam Hutan Simpan tersebut.

Sementara itu, Ewon menjelaskan bahawa status perkampungan Kg Ponopuan telah dibincangkan di mesyuarat Jemaah Menteri Negeri Sabah pada 6 November 2019 dan telah dipersetujui agar perkampungan tersebut dikeluarkan daripada Hutan Simpan.

Bagaimanapun, sehingga Dewan Undangan Negeri Sabah dibubarkan pada Julai 2020, Jabatan Perhutanan belum sempat mengemukakan kertas kabinet sesuai dengan keputusan tersebut menyebabkan ianya tidak sempat dibentangkan di Dewan Undangan untuk dibubarkan.

Menurut Ewon lagi, dasar Kerajaan Negeri ketika itu ialah membubarkan Hutan Simpan untuk tujuan mengeluarkan tanah perkampungan.

Berdasarkan dasar tersebut, seluas lebih kurang 3,300 hektar kawasan Hutan Simpan di seluruh Sabah telah dibubarkan sepanjang tahun 2019 hingga awal tahun 2020 untuk tujuan mengeluarkan 104 buah kampung.

Ewon menyatakan sokongan kepada tuntutan para penduduk Kg Ponopuan agar kawasan perumahan dan pertanian mereka dikeluarkan daripada kawasan Hutan Simpan dan seterusnya dibantu untuk bekalan elektrik, air dan kemudahan lain.

Beliau turut memberi jaminan akan membangkitkan isu perkampungan Kg Ponopuan dan tujuh buah kampung lain di DUN Kadamaian yang turut termasuk dalam kawasan Hutan Simpan dalam sidang DUN pada bulan Disember ini.

Dalam perjumpaan tersebut juga, Ewon turut bersetuju membiayai kos bahan-bahan binaan dan keperluan gotong-royong bagi menyiapkan bangunan gereja di kampung tersebut.