Penduduk Kg Menggaris Perlu Bekalan Air Bersih

118

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA MARUDU: Rintihan penduduk Kampung (Kg) Menggaris 1 untuk mendapatkan bekalan air bersih sejak bertahun lamanya akhirnya didengari.

Aduan yang disalurkan kepada Jabatan Air Daerah, Pejabat Daerah dan Pejabat Ketua Bahagian Parti Warisan Sabah (WARISAN) Kota Marudu mendapat maklum balas positif apabila proses penyambungan paip bermeter ke kampung itu akan dimulakan tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Bahagian WARISAN Kota Marudu, Datuk Sardik A. Rahman ketika melawat perkampungan itu pada Ogos lalu memaklumkan kepada penduduk bahawa penyambungan paip bermeter dari Kg Tonsom ke Kg Menggaris sudah memasuki proses pembukaan tender dan kini ia hanya menunggu kontraktor memulakan kerja-kerja penyambungan sahaja.

Bagaimanapun, sehingga kini kerja-kerja penyambungan masih belum bermula dan penduduk kampung memohon pihak berkaitan mempercepatkan proses berkenaan demi memenuhi keperluan penduduk di situ.

Wakil penduduk, Rina Mj berkata, tinjauan mereka ke Sungai Menggaris pada Sabtu mendapati sungai yang menjadi tempat bergantung kepada segelintir penduduk mendapatkan bekalan air itu agak kotor dan cetek.

Air Sungai berkenaan digunakan untuk mandi, membasuh pakaian dan juga dijadikan air minuman kepada penduduk yang tidak mempunyai akses air graviti.

Menurutnya, ada juga penduduk kampung yang terpaksa membeli air sendiri demi keperluan harian. Namun, bagi penduduk yang tidak mampu, mereka terpaksa menggunakan air sungai yang kotor itu.

“Bekalan air graviti sedia ada tidak mampu menampung keperluanpenduduk kampung yang semakin bertambah bilangannya. Pada musim kemarau pula, tadahan paip graviti akan menjadi kering.

“Penduduk di sini sudah memohon penyambungan paip bermeter dari Jabatan Air sudah lama, iaitu sejak zaman Kerajaan Barisan Nasional (BN). Kelulusan sudah dikeluarkan namun, janji perlaksanaan penyambungan bekalan air bersih kepada penduduk kampung itu hanya tinggal janji, sehingga kerajaan bertukar,” katanya.

Dengan pemerintahaan kerajaan baharu, penduduk di situ sekali lagi merayu agar penyambungan paip bermeter dapat disalurkan ke kampung berkenaan.

Menurutnya, penduduk di situ tidak mampu lagi membeli air maka, bantuan dari agensi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) amat diperlukan sementara menunggu kerajaan memulakan proses penyambungan paip bermeter.

Penghantaran air bersih untuk dijadikan minuman sangat diperlukan bagi penduduk yang tidak mampu membeli air sendiri.