Penduduk Kampung KDM Persoalkan Pemberian IMM13

Dari kiri, Ruddie, Gullih dan Mohd Shah.

Oleh SURAYA SHANAZ
KOTA KINABALU: Penduduk kampung masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) mempersoalkan cadangan  Kementerian Dalam Negeri (KDN)  untuk menyelaraskan pelbagai jenis pengenalan yang dimiliki pendatang asing tanpa  izin (PATI) di Sabah kepada dokumen IMM13.

Ini susulan beberapa persoalan mereka termasuk bagaimana proses  pemberian dokumen itu, prosedur pengkategorian yang tidak betul dan kemungkinan risiko yang akan timbul jika rancangan itu dilaksanakan.

Penduduk dari Kampung Gana, Kota Marudu, Ruddie Aloi, 54, menegaskan bahawa beliau tidak memahami mengapa semua kerajaan negeri terdahulu tidak pernah mahu mengusir pemegang IMM13  selepas perang saudara di selatan Filipina, berakhir.

“Seolah-olah puluhan ribu pemegang IMM13 tidak menjadi masalah bagi kami. Kerajaan   Persekutuan seharusnya menghantar balik semua pemegang IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci kembali ke Filipina.

“Ini kerana pemegang Kad Burung-burung dan Sijil Banci adalah PATI dan bagi pemegang IMM13, perang saudara di selatan Filipina,  sudah berakhir,” katanya di sini.

Pada 14 Jun lalu, KDN bercadang menyeragamkan dokumen warga asing dari Filipina di Sabah dengan hanya menggunakan satu dokumen sahaja iaitu IMM13 sebagai antara strategi untuk memudahkan mengenal pasti PATI dari negara itu.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan sebagai berkata kerajaan tidak akan mengeluarkan sebarang dokumen baharu kepada golongan itu, sebaliknya melihat untuk menggunakan satu dokumen sedia ada bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Bagi penduduk dari Papar, Gullih @ Michael Asin, 63, turut mempersoalkan sama ada kerajaan Manila akan mengakui dan menerima IMM13 yang dikeluarkan kerajaan Persekutuan untuk bukan pelarian di Sabah.

“Saya meragui Manila akan menerima orang-orang ini (pemegang IMM13) kerana kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini,  tidak pernah melakukan sesuatu yang serius dan yang paling teruk, mereka memberikan Kad Burung Burung dan Sijil Banci kepada ratusan ribu PATI.

“Ketika kita memberikan Kad Burung Burung atau Sijil Banci kepada PATI, ini sebenarnya menunjukkan kita menerima mereka untuk tinggal dan bekerja di sini tetapi bukan sebagai warganegara.

“Kerajaan Persekutuan sepatutnya berbincang dengan kerajaan negeri   bagaimana memastikan Manila menerima pemegang IMM13 yang sedia ada ini dan selepas itu, mencari jalan menyelesaikan pemegang Kad Burung-Burung dan Sijil Banci,” katanya sambil menambah

menghantar balik 40,000 pemegang IMM13 yang sedia ada di Sabah akan menjadi langkah penting untuk mengurangkan PATI di negeri ini.

Sementara itu, penduduk dari Beaufort, Mohd Shah Mohd Shaid, 35,  bersetuju dengan Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri, Henrynus Amin bahawa pemberian status pelarian kepada bukan pemegang IMM13 adalah satu pelanggaran serius terhadap undang-undang imigresen Malaysia.

“Adalah salah untuk mengeluarkan IMM13 kepada bukan pelarian di Sabah kerana mereka tidak memenuhi syarat untuk mendapatkannya.

“Kita tidak boleh sesuka hati mengkategorikan pemegang Kad Burung Burung dan Sijil Banci ini sebagai pelarian dan memberikan mereka IMM13 kerana mereka bukan (pelarian) dan kita bercakap mengenai ratusan ribu orang di sini.

Bendahari Agung Parti Warisan Sabah (WARISAN), Terrence Siambun menulis  di Facebook miliknya mengenai Presiden STAR Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang dikatakan menyokong penuh keputusan KDN itu.

Dalam catatannya, Terrence mengatakan bahawa Hamzah (Menteri KDN) akhirnya mengesahkan bahawa walaupun kumpulan yang tidak mempunyai kewarganegaraan di Sabah tidak berhak mendapatkan kewarganegaraan, kerajaan akan tetap mengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada mereka dan KDN ingin menyelaraskan semua PATI di Sabah.

Terrence berkata, sudah jelas bahawa  keputusan KDN sekarang tidak berbeza dengan PSS (Pas Sementara Sabah) yang telah ditentang oleh Jeffrey pada awal tahun ini.

“Bilakah dia (jeffrey) akan menganjurkan ‘Black Sunday’ untuk membantah keputusan yang dibuat oleh Hamzah,” katanya.