Penduduk Kadamaian Terkesan Jika NCA Diteruskan – Ewon

EWON BENEDICK

KOTA BELUD: Penduduk di beberapa kampung di kawasan DUN Kadamaian adalah antara yang akan terkesan jika perjanjian Nature Conservation Agreement (NCA) diteruskan di kawasan hutan yang dilindungi sepenuhnya, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.

“Kerajaan Negeri telah menandatangani perjanjian NCA pada 28 Oktober tahun lepas bagi tujuan perdagangan karbon kredit. Walaupun kawasan seluas dua juta hektar yang akan terlibat belum lagi diumumkan, tetapi kita diberitahu kawasan yang terlibat adalah kawasan perhutan yang dilindungi sepenuhnya atau totally protected areas. Ini bermakna kawasan Hutan Simpan Kelas I dan kawasan Taman-Taman Sabah berada dalam kategori tersebut.

“Jika perjanjian ini diteruskan, maka penduduk di beberapa kampung di Kadamaian yang masih mempunyai tuntutan tanah adat akan terlibat seperti Kg Ponopuan Kelawat, beberapa kampung di Mukim Melangkap dan kampung-kampung di sempadan kawasan-kawasan Taman-Taman Sabah. Perjanjian ini melibatkan tempoh 100 tahun, maka tuntutan tanah adat penduduk ini juga akan tertangguh untuk tempoh tersebut,” katanya.

Ewon menyatakan demikian dalam perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin cawangan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) di Mukim Kelawat dan Kinasaraban pada kelmarin.

“Perjanjian ini juga umpama perjanjian Akta Pembangunan Petronas yang ditandatangani pimpinan Kerajaan Negeri pada tahun 1976 yang memberi hak ekslusif kepada Petronas untuk mendapatkan keuntungan daripada sumber gas dan minyak di Sabah. Perjanjian NCA yang ditandatangani pimpinan Kerajaan Negeri hari ini juga memberi hak ekslusif kepada syarikat Hoch Standard untuk mendagangkan karbon kredit hutan-hutan Sabah dan perjanjian itu pula akan terikat dengan undang-undang Singapura.

“Saya tidak faham tadbir urus apa yang cuba dibuat oleh Kerajaan Negeri ini tetapi ianya menjadi satu sebab kenapa saya tidak dapat menyokong parti-parti gabungan yang membentuk kerajaan hari ini kerana ianya seolah-oleh menjual kedaulatan negara dan akan menafikan hak Orang Asal ke atas tuntutan tanah adat. Yang mengecewakan, orang yang paling kuat mendukung perjanjian ini, malah menandatangani bagi pihak kerajaan negeri dan juga bagi pihak syarikat ialah orang yang mendakwa berjuang untuk hak Orang Asal Sabah,” katanya.

Sebelum ini, Ewon menyatakan akan terus memperjuangkan hak penduduk di Kadamaian yang masih menuntut tanah adat mereka di kawasan hutan simpan seperti di Kg Melangkap, Kg Ponopuan dan beberapa kampung yang bersempadan dengan Taman-Taman Sabah.

Penduduk-penduduk di kampung-kampung tersebut juga telah mengadakan perjumpaan dengan Ewon memaklumkan hasrat mereka untuk meneruskan tuntutan tanah adat mereka.

“Saya berbangga kerana semasa saya dalam kabinet dalam tempoh dua tahun dari tahun 2018 hingga 2020, kita melaksana dasar membubarkan hutan-hutan simpan bagi mengeluarkan kawasan perkampungan yang mempunyai tuntutan tanah adat. Di bawah dasar tersebut, sebanyak 104 buah kampung telah dikeluarkan dan lebih 3,000 hektar Hutan Simpan telah dibubarkan. Malangnya Kerajaan Negeri hari ini tidak meneruskan dasar tersebut, sebaliknya mahu melaksanakan perjanjian NCA yang menafikan tuntutan tanah adat penduduk dalam kawasan hutan simpan,” katanya.

Ewon turut menyatakan akan terus membangkitkan isu perjanjian NCA tersebut dalam sidang DUN Sabah yang akan diadakan pada 16 hingga 24 Mac ini.