Penduduk Harap Projek Pan Borneo Sabah Zon Timur Cetus Pembangunan Sosioekonomi

KINABATANGAN: Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Zon Timur diharap mampu menjadi pencetus kepada pembangunan sosioekonomi penduduk setempat terutama peniaga kecil yang terlibat sepanjang jajaran projek itu.

Penduduk terlibat ketika ditemui Bernama hari ini berkata lebuh raya itu bukan sahaja perlu menjadi pemudah sistem pengangkutan, sebaliknya turut dapat ‘menghidupkan’ sosioekonomi kawasan terlibat dengan perancangan jajaran projek yang teliti.

Pemilik restoran, Adillia Madjaril, 48, berkata penduduk terutama peniaga kecil akan memperoleh manfaat terutama peningkatan perniagaan dan ekonomi apabila jajaran lebuh raya itu dibuat berhampiran kawasan mereka.

“Perlu dibuat (jajaran) hampir dengan sini (pekan Kinabatangan), jika tidak orang ramai hanya melepasi pekan ini melalui lebuh raya itu, tidak singgah.

Jika ini berlaku tidak mustahil pekan ini akan ‘mati’ dan peniaga kecil seperti kami akan terkesan. Kami mohon supaya rancang baik-baik supaya semua penduduk dapat manfaat sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Esok, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual melancarkan empat pakej baharu projek Lebuhraya Pan Borneo bagi Zon Timur di negeri ini melibatkan jajaran Kinabatangan-Sandakan-Beluran-Telupid.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam dilapor berkata pelantikan kontraktor bagi pakej WP15, WP28, WP29 serta WP30 sudah dilakukan dan kerja-kerja pelaksanaan dijalankan sebaik pelancaran, sekali gus dijangka siap pada 2024.

Peniaga makanan ringan di Agro Bazar, Sandakan, Jiha Dudu, 60, pula berkata langkah membina laluan masuk ke kawasan Agro Bazar dari lebuh raya itu amat melegakan peniaga di kawasan tersebut dan berharap ia akan membawa lebih ramai pengunjung.

“Pada awalnya agak risau terpaksa berpindah jika terkena jajaran lebuh raya, tetapi tidak, malah jajaran itu di tepi Agro Bazar ini memudahkan pengguna lebuh raya untuk berhenti rehat, makan dan mendapatkan barangan tempatan yang mana akan menguntungkan peniaga di sini,” katanya.

Penghantar makanan e-hailing, Mohammad Firdaus Zaman, 26, pula meluahkan harapan lebuh raya itu mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor ekonomi seperti perkilangan dan pelancongan yang seterusnya memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Seorang tukang masak restoran di Sandakan, Azhanizam Lanjun, 41, berkata sejak sekian lama penduduk di kawasan Zon Timur bergelut dengan kemiskinan, justeru lebuh raya itu diharap dapat memberikan perubahan besar dalam kehidupan mereka.

“Kemiskinan ini terjadi kerana kurangnya peluang untuk menjana pendapatan seperti kekurangan peluang pekerjaan dan kekurangan pelanggan berpotensi untuk menghidupkan perniagaan, jadi lebuh raya ini kita harap dapat membawa kelebihan yang dapat mengubah hidup penduduk di kawasan ini,” katanya.