Penduduk Dua Kampung Di Sabah Nikmati Kemudahan Internet Prabayar CONNECTme NOW

KOTA KINABALU: Lebih 300 penduduk Kampung Gana di Papar dan lebih 200 penduduk Kampung Kumawan di Tambunan kini boleh menikmati kemudahan Internet jalur lebar prabayar kelajuan tinggi berasaskan komuniti melalui satelit iaitu CONNECTme NOW, yang dilancarkan hari ini.

MEASAT Global Berhad (MEASAT) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif kerjasama syarikat itu bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah selaras dengan usaha berterusan memperkasa misi Internet untuk semua.

“Kerajaan Negeri Sabah turut menaja 300GB data percuma di setiap kawasan untuk penggunaan awal penduduk kampung.

“Langkah ini adalah selari dengan hasrat KSTI untuk menangani isu sambungan Internet yang terhad dialami oleh penduduk luar bandar sekali gus menghubungkan lebih banyak komuniti, perusahaan dan institusi dengan Internet jalur lebar yang berkualiti tinggi dengan harga berpatutan,” menurut kenyataan itu.

CONNECTme NOW menggunakan teknologi satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) dan High Throughput Satellite (HTS) manakala Terminal VSAT itu, yang dipasang bersama peralatan WiFi hotspot, akan membolehkan penduduk kampung yang berada dalam jarak 100 meter menikmati kemudahan tersebut.