Penduduk, Barisan Hadapan Di Tawau Terus Terima Bantuan

TAWAU: Kerajaan sedang berusaha memastikan semua penduduk yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat penularan COVID-19 di Sabah menerima bantuan bakul makanan mereka secepat mungkin.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata bantuan secara berterusan kepada penduduk dan petugas barisan hadapan hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk kerajaan, terus giat disalurkan bagi mengurangkan beban mereka.

“Masih ada lagi penduduk belum menerima bakul makanan, harap bersabar. Pembekal (pembungkusan sedang) urus bakul makanan, kita berusaha mengatur yang terbaik,” kata beliau yang juga adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Apas kepada pemberita.

Beliau yang ditemui di majlis penyampaian bantuan bakul makanan daripada kerajaan negeri Sabah kepada kira-kira 2,000 rumah di sekitar Batu 4 serta Kinabutan Kecil di sini, hari ini berkata, pengagihan bakul makanan mulai diagihkan sejak dua minggu lepas dan masih berterusan.

Sementara itu, Malaysia Airport Holding Berhad (Malaysia Airport) dalam satu program MYAirportCARES di sini mengagihkan 200 Comfort Kit (kit keselesaan) kepada petugas barisan hadapan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19.

Pengurus Lapangan Terbang Tawau, Hasbi Said berkata sumbangan berupa beg tidur, barangan mandian dan tuala tangan itu diterbangkan dari Subang ke Tawau hari ini dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia .

Menurutnya lagi,  sebanyak 150 Comfort Kit turut diagihkan kepada petugas hadapan di Kota Kinabalu.

Hasbi juga berkata Lapangan Terbang Tawau selesai memasang pengimbas suhu (thermal scanner) serta 17 penghalang pelindung bersin (sneeze guard barrier) di kaunter-kaunter pendaftaran masuk sebagai langkah menangani penularan COVID-19.