
Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Menyedari akan kepentingan pendidikan awal kanak-kanak, Kolej SIDMA Sabah muncul sebagai satu-satunya kolej swasta yang memberi fokus kepada bidang ini.
Penasihat Luar Bagi Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kolej SIDMA Sabah Dr. Bustam Kamri berkata, kursus yang ditawarkan di kolej itu juga setara dengan kursus pendidikan awal kanak-kanak yang ditawarkan Institusi Pengajian Tinggi luar negara.
Katanya, menjelang 2020 mereka yang terlibat dengan pendidikan awal kanak-kanak disyaratkan supaya mempunyai Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
“Guru-guru tadika tidak lagi hanya bergantung kepada pengalaman dan kelulusan yang minima. Sudah sampai masanya anak-anak kecil di tadika dididik oleh mereka yang benar-benar berkelayakan dan berilmu,” katanya semasa Majlis Konvokesyen Kolej SIDMA kali kelima, di sini pada Khamis.
Menurutnya, berdasarkan pengalamannya dalam panel Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang membangunkan program standard pendidikan awal kanak-kanak Malaysia, program yang ditawarkan IPT tempatan dan luar negara tidak ada perbezaan kandungan kursus.

Oleh itu, kualiti kursus yang ditawarkan di kolej ini boleh dikatakan setara dengan kursus pendidikan awal kanak-kanak di IPT luar negara.
Dalam pada itu, Bustam juga mahu graduan Kolej SIDMA supaya meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Graduan yang ada tidak boleh mudah berpuas hati dengan pencapaian yang dimiliki.
“Graduan sewajarnya menjadikan diploma yang diperolehi sebagai permulaan untuk melangkah lebih jauh dalam pelbagai bidang.
“Bagi mereka yang telah bekerja, mereka masih boleh meneruskan pengajian. Banyak IPT menawarkan peluang meneruskan pengajian kepada golongan yang berkerjaya.
“Adakah anda akan berhenti setakat ini? Ini adalah permulaan dalam dunia akademik. Kelulusan diploma ini melayakkan anda meneruskan langkah untuk pergi lebih jauh lagi,” katanya.
Bustam juga mengingatkan graduan bahawa kelayakan dan ilmu sahaja tidak mencukupi tetapi perlu mempunyai sikap berdidikasi dan minat yang tinggi dalam sesuatu bidang yang diceburi.
Dalam majlis itu, seramai 397 graduan menerima Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak. Sementara itu, Chong Tsin Tsin diumumkan sebagai penerima Anugerah Pengerusi Sidma 2018 manakala, Clarissa Rainer Mijin menerima Anugerah Pelajar Terbaik.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Pengerusi Kolej SIDMA Dr Morni Kambrie dan Ketua Pegawai Eksekutif Kolej SIDMA Sabah Azizah Khalid Merican.