Penderitaan Penduduk Berakhir, Jambatan Kg Muhang Bakal Dibina

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIMANIS: Penderitaan penduduk Kampung Mahung, Kota Marudu yang terpaksa bergadai nyawa menyeberangi sungai dengan meniti saluran paip setiap kali musim banjir bakal berakhir tidak lama lagi.

Perancangan kerajaan membina jambatan konkrit di kampung itu bermula tahun ini memberi nafas lega kepada penduduk di kampung berkenaan.

PETER ANTHONY

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony berkata, jambatan konkrit itu akan mula dibina pada tahun ini.

Beliau berkata, cadangan pembinaan jambatan itu sudah dikemukakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kudat dan kini, hanya menunggu masa untuk dilaksanakan sahaja.

Katanya, situasi yang berlaku dimana, murid sekolah dilihat meniti saluran paip untuk menyeberangi Sungai Jambutan untuk keluar dari kampung itu, bukanlah seperti yang digambarkan.

Menurutnya, apa sebenarnya yang berlaku adalah terdapat jambatan aras rendah (low level crossing) di kawasan sungai berkenaan. Namun, disebabkan banjir, jambatan aras rendah itu telah dinaiki air.

“Atas sebab itu, kita merancang untuk membina jambatan bersebelahan low level crossing ini. Itu keadaan yang berlaku.

”Pembinaan jambatan aras rendah itu juga adalah permintaan orang kampung. Inilah keadaan yang berlaku….bukanlah kerajaan tidak prihatin untuk membina jambatan di Sabah.

”Kita memang sudah ada perancangan untuk membina jambatan itu,” jelasnya.

Menurutnya, beliau telah mengarahkan agensi berkaitan untuk memeriksa dan memberi keutamaan membina jambatan di situ.

Tambahnya, jika bukan musim banjir, jambatan aras rendah itu boleh dilalui oleh kenderaan dan juga penduduk kampung bagi menyeberangi sungai berkenaan.

Jumaat lalu, beberapa gambar tular menunjukkan beberapa penduduk Kg Muhang terpaksa menyeberangi sungai dengan meniti saluran paip di kawasan berkenaan.

Setiap kali hujan lebat, jambatan aras rendah di kampung itu difahamkan akan ditenggelami banjir dan penduduk tiada pilihan selain menyeberang sungai dengan menggunakan saluran paip.