Pendekatan Agresif Tangani Isu Kepenggunaan – Jainab

Jainab Ayid
Jainab Ayid

SANDAKAN – Kerajaan mengambil pendekatan lebih agresif dalam menangani isu-isu kepenggunaan yang saban hari menjadi keluhan rakyat di negara ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata antara pendekatan diambil antaranya menjalankan program kesedaran pengguna kepada pelajar sekolah, hebahan di radio berkenaan akta kepenggunaan, pemantauan bersepadu oleh jabatan kerajaan, pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan.

Pendekatan lain ialah menyelesaikan aduan pengguna dan mengenakan tindakan tegas kepada peniaga yang dikesan mengambil kesempatan menaikkan harga barang, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pengguna Peringkat Negeri Sabah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan di perkarangan sebuah pasar raya di sini, hari Sabtu.

Jainab berkata melihat kepada perspektif yang lebih luas, saban hari, rakyat mengeluh kos sara hidup yang meningkat disebabkan kenaikan harga barang.

“Kita perlu membuka pandangan lebih luas bahawa selain daripada kenaikan harga barang, terdapat faktor lain yang mempengaruhi peningkatan beban kos sara hidup rakyat,” katanya.

Menurutnya berdasarkan kajian, kebanyakan hutang isi rumah diambil oleh pembelian pinjaman perumahan yang meningkat sehingga 11 peratus antara 2014 hingga 2015, selain komitmen terhadap bayaran pinjaman ansuran kereta, sewa rumah dan bayaran utiliti, pendidikan, insuran serta kesihatan.

“Adalah menjadi keutamaan kerajaan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pelbagai inisiatif, bantuan dan kemudahan kepada golongan pertengahan dan ke bawah,” katanya.

Beliau berkata ini termasuk menyediakan kedai-kedai yang menjual harga patut di samping membantu meningkatkan pendapatan dan ekonomi penduduk di kawasan pedalaman di negeri ini.

Menurutnya antara usaha kerajaan yang diterajui KPDNKK untuk membantu rakyat menghadapi isu kos sara hidup yang semakin meningkat di negeri ini adalah dengan mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia yang kini sebanyak 21 buah, Borneo Mart (empat), Transformasi Kedai Runcit (11) dan Projek Pemodenen Bengkel Automotif (ATOM) sebanyak sembilan buah.