Pendedahan SPRM Jelas Situasi Sebenar Kepada Rakyat

KIMANIS: Pendedahan sembilan set rakaman percakapan yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat sebagai langkah tepat yang dapat menjelaskan kedudukan sebenar di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, ada kalanya bila beberapa perkara dibangkitkan, rakyat kurang yakin dengan apa diperkatakan kerajaan. Maka,sekarang ini ada bukti yang boleh dipaparkan untuk menjelaskan kepada rakyat situasi sebenar yang berlaku di negara ini.

Bagaimanapun, dalam isu ini beliau menyerahkan kepada pihak berwajib seperti SPRM tentang apa sepatutnya mereka lakukan. Itu terserah kepada mereka.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan SPRM mengenai rakaman percakapan membabitkan konspirasi jenayah peringkat tertinggi.

Menurutnya, ketelusan dalam kerajaan antara isu yang dilontarkan semasa pilihan raya umum (PRU) lepas. Isu ini bermain dalam fikiran masyarakat.

“Oleh itu, kita melihat bagaimana persoalan ketelusan ini perlu diterjemahkan menjadi kenyataan. Caranya dengan mendedahkan perkara sebenar demi kepentingan negara.

“Saya masih ingat bila kita bersuara banyak kali di Kabinet Persekutuan bagaimana tindakan perlu diambil. Tapi kita tahu kebenaran akan mengatasi segalanya, kita serahkan kepada pihak berwajib melakukan tugas mereka,” katanya.

Kemarin SPRM mendedahkan sembilan set rakaman percakapan selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya memperdengarkan klip audio berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad.

Antara rakaman percakapan itu adalah perbualan antara bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mendedahkan maklumat siasatan mengenai skandal dana 1MDB kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Latheefa berkata, semua rakaman percakapan yang didedahkan itu didakwa berlaku pada 2016 dan hasil siasatan mendapati, rakaman itu adalah tulen.