Pendakian Ke Gunung Kinabalu Ditutup Sementara

DR JAMILI NAIS

KOTA KINABALU: Taman Kinabalu kini ditutup selama 14 hari bagi kerja-kerja pembasmian kuman berikutan seorang pendaki dari Tawau didapati menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit positif Covid-19.

Penutupan itu berkuatkuasa esok (25 September) sehingga 8 Oktober ini.

Setiausaha Tetap Kemterian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Jamili Nais berkata, pendaki yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19 itu melakukan aktiviti pendakian pada 13 dan 14 September lalu.

Semua kakitangan yang bertugas di pusat saringan, kaunter pendaftaran serta pintu masuk Kompleks Taman Kinabalu dan Panalaban dikehendaki menjalani saringan kesihatan hari ini di Dewan Kinabalu.

Katanya, semua malim gunung dan porter serta kakitangan Sutera Sanctuary Lodge (SSL) dan Mountain Torq yang bertugas pada dua hari berkenaan dikehendaki menjalani saringan kesihatan.

Menurutnya, semua kakitangan taman dan malim gunung serta rombongan pendaki yang dikenalpasti terdedah rapat dikehendaki menjalani kuarantin di rumah sehingga keputusan saringan kesihatan diperoleh.

Bagaimanapun, kakitangan taman, SSL dan Mt Torq serta agensi yang ada kepentingan akan dibenarkan masuk.

Semua kemudahan awam di taman itu akan dilakukan proses nyahkuman.

Jamili turut memberi taklimat berhubung situasi tersebut kepada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew.