Pendaki Wanita Kejang Otot Dan Hipotermia, Diusung Turun Dari Gunung Kinabalu

RANAU: Seorang pendaki wanita yang mengalami kekejangan otot dan kesejukan melampau (hipotermia) terpaksa diusung menuruni Gunung Kinabalu dari Sick Bay Panalaban ke kaki gunung di Timpohon Gate oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.18 pagi.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau termasuk 4 anggota MOSAR bergegas ke lokasi kejadian sebelum memberi rawatan awal dengan bantuan oksigen dan memastikan suhu badan wanita itu kembali normal.

Mangsa kemudiannya diusung menggunakan ‘Robinson Stretcher’ oleh pasukan MOSAR sehingga ke Timpohon Gate.

Seterusnya mangsa dikejarkan ke Hospital Ranau menggunakan van unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan operasi ditamatkan pada jam 4.05 petang.

Sebelum ini, media melaporkan sebuah balai bomba atau Pusat Operasi Pasukan MOSAR akan diwujudkan di bangunan bekas asrama penginapan di Gunting Lagadan Hut, Gunung Kinabalu yang dikosongkan selepas kejadian gempa bumi pada 2015.

Langkah itu bagi memudahkan kerja menyelamat di puncak tertinggi Asia Tenggara itu.

Menurut laporan, sebanyak 259 operasi menyelamat membabitkan pendaki Gunung Kinabalu telah dilakukan dan tahun ini sahaja, sebanyak tujuh operasi dijalankan.

Kebanyakan operasi membabitkan usaha menyelamat pendaki yang mengalami penyakit akut gunung atau Altitude Mountain Sickness (AMS), kesejukan melampau dan tercedera.