Pendaki Terseliuh, Diusung Turun Dari Gunung Kinabalu

RANAU : Seorang pendaki wanita berusia 54 tahun yang terseliuh buku lali kiri ketika dalam perjalanan menuruni puncak Gunung Kinabalu ke Laban Rata, terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR), pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.30 pagi.

Menurutnya, susulan laporan itu, sepasukan enam pegawai dan anggota JBPM termasuk MOSAR dikerah ke lokasi kejadian di Kilometer 7.2.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan MOSAR memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate dengan menggunakan pengusung Robinson Stetcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Sebaik tiba di kaki gunung, mangsa dihantar ke Hospital Ranau menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) JBPM untuk rawatan lanjut.

Operasi ditamatkan 3.55 petang tadi.