Pendaki Gunung Kinabalu, Meninggal Dunia

RANAU: Seorang lelaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Kinabalu, petang tadi.

Kejadian dilaporkan berlaku di kilometer 3.2 Gunung Kinabalu apabila pendaki berusia 51 tahun itu, didapati tidak sedarkan diri sebelum pihak malim gunung memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata sepasukan bomba digegaskan ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.23 petang tadi.

“Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) menerima panggilan kecemasan daripada malim gunung yang melaporkan terdapat seorang pendaki tidak sedarkan diri di kilometer 3.2 ketika mendaki Gunung Kinabalu.

“Pasukan MOSAR, kakitangan Taman-Taman Sabah dan malim gunung, memberikan bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ridwan berkata lelaki berkenaan seterusnya dibawa turun ke Timpohon Gate menggunakan pengusung ‘Robertson stretcher’.

Katanya, pendaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mangsa adalah seorang rakyat tempatan.

Operasi ditamatkan jam 4.30 petang.