Pencuri Nekad Terjun Laut Setelah Berjaya Dipintas Maritim Semporna

Enjin sangkut, pemotong wayar dan beberapa botol ‘bom ikan’ dijumpai dalam bot pencuri. – Gambar ihsan Maritim Semporna

SEMPORNA: Dua lelaki yang dipercayai pencuri bertindak terjun ke laut selepas bot yang mereka naiki dipintas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna, dalam operasi di perairan daerah itu, Jumaat pagi.

Dalam kejadian pada jam 3.30 pagi itu, bot yang dinaiki dua suspek itu berjaya dipintas hasil maklumat awam.

Difahamkan, bot yang dinaiki dua lelaki itu dilaporkan sering berlegar-legar di depan jeti pelancong dalam keadaan yang mencurigakan.

Pengarah Maritim Pangkalan Semporna, Leftenan Komander Maritim Amiluddin Yenggah, berkata hasil risikan berdasarkan maklumat orang awam, anggota APMM berjaya memintas bot yang dinaiki dua lelaki, sekitar jam 3.30 pagi.

Bot yang dirampas oleh Maritim Semporna.

“Selepas berjaya memintas bot berkenaan, kedua-dua suspek bertindak terjun ke laut dan berenang ke kawasan perumahan kampung air sebelum berjaya menghilangkan diri.

“Hasil siasatan mendapati, bot itu dipercayai digunakan untuk mencuri selepas penemuan sebuah enjin sangkut jenis Yamaha 15HP, pemotong besi dan tiga botol bom ikan,” katanya dalam kenyataannya di sini.

Amiluddin berkata, bom ikan yang ditemui dipercayai digunakan suspek untuk mempertahan diri sekiranya berdepan dengan pihak berkuasa.

Menurut beliau lagi, ini merupakan kes curi tangkapan yang pertama bagi Maritim Malaysia Semporna sepanjang tahun ini.

Maritim Malaysia Semporna akan terus mempertingkatkan kawalan dan rondaan di perairan Semporna bagi menghalang kegiatan-kegiatan ini dari terus berleluasa.

Sebarang maklumat atau aduan di laut boleh hubungi di talian 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Pangkalan Maritim Semporna di talian 089-782619.