Pencarian Calon Miss Takad Nabalu Ambassador 2020 Pada 29 Februari

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Gadis Sabahan yang memiliki kecantikan asli dipelawa menjalani uji bakat untuk menyertai pertandingan Miss Takad Nabalu Ambassador 2020 anjuran Pertubuhan Kebajikan Takad Nabalu (TN) yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM60,000.

Pengerusi penganjur, Jainetha Stephen berkata, satu sesi uji bakat akan diadakan dalam usaha mencari personaliti yang berkelayakan, bertempat di The Palace Hotel, Kota Kinabalu pada 29 Februari, bermula 12 tengah hari sehingga pukul 6 petang.

Katanya Miss Takad Nabalu Ambassador 2020 membuka peluang kepada gadis-gadis warganegara Malaysia yang berasal dari Sabah dan berusia dalam lingkungan 18 hingga 26 tahun.

“Antara syarat lain adalah, peserta harus memiliki ketinggian minima 162 sentimeter (cm), berstatus bujang dan tidak pernah berkahwin dan pertandingan ini hanya terbuka kepada peserta yang bukan beragama Islam.

“Miss TN Ambassador 2020 turut menitikberatkan kriteria seperti seorang yang berkeyakinan, memiliki personaliti menarik serta berbakat semasa sesi pemilihan itu nanti” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk Miss TN Ambassador 2020, di sini hari ini.

Beliau berkata, tujuan utama penganjuran acara itu adalah bagi mencungkil bakat baharu khususnya dalam bidang peragaan di negeri ini agar dapat diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Menurutnya sebanyak 15 peserta yang dipilih semasa uji bakat pada 29 Februari nanti bakal bertanding pada Grand Final di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 21 Mac 2020.

Sehubungan itu, Jainetha mempelawa semua gadis Sabah yang memiliki kelayakan mengikut syarat dan terma serta memiliki kriteria yang ditetapkan oleh penganjur supaya hadir ke sesi uji bakat itu dan sesiapa yang berminat boleh menghubungi Alice di talian 016-812 2838,  Amelia (016-829 1550), dan Laura (019-862 0516).