Pencapaian SPM Sabah Terbaik Sepanjang Empat Tahun

KOTA KINABALU: Biarpun pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berdepan cabaran getir belajar dalam suasana norma baharu namun, pencapaian yang ditunjukkan di Sabah menunjukkan keputusan yang membanggakan.

Keputusan SPM 2020 adalah pencapaian terbaik yang direkodkan di Sabah bagi tempoh empat tahun ini dengan Gred Purata Negeri (GPN) 5.34.

Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Dr. Mistirine Radin berkata, GPN yang dicatatkan dalam SPM 2020 menunjukkan sedikit peningkatan berbanding GPN SPM pada 2019 iaitu 5.38.

“Saya mendoakan semua calon-calon SPM ini akan terus menunjukkan budaya kerja cemerlang pada masa akan datang.

“Kejayaan ini juga adalah berkat usaha guru-guru yang tidak berhenti mendidik dan membimbing pelajar sehingga mereka memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang sekalipun kita berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 33,454 orang calon yang mengambil SPM 2020 berbanding 33,541 orang calon pada 2019.

Daripada jumlah itu, calon yang layak mendapat sijil dengan sekurang-kurangnya gred E dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah adalah seramai 90.42 peratus berbanding hanya 87.79 peratus pada 2019.

Jurang perbezaan pencapaian sekolah bandar dan luar bandar di Sabah juga semakin mengecil iaitu hanya 0.53 peratus berbanding 1.34 peratus pada 2019.

Menurutnya, sebanyak 211 sekolah terlibat dalam peperiksaan SPM dan 60 sekolah berada di kawasan bandar mencatatkan pencapaian lulus sebanyak 91.12 peratus manakala, 151 buah sekolah terletak di luar bandar mencatatkan kadar lulus sebanyak 90.59 peratus.

Untuk pencapaian di peringkat daerah pula, sebanyak 11 daripada 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) mencatatkan Gred Purata Daerah (GPD) yang melepasi pencapaian GPN.

Bagi calon yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran pula adalah seramai 241 orang berbanding 198 orang semasa SPM 2019.