Pencalonan Peter Anthony Ditolak, Pusat Penamaan Calon Kecoh

TENOM: Pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Datuk Peter Anthony yang ingin bertanding di kerusi Parlimen Tenom ditolak.

Semakan dalam laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapati kerusi Parlimen Tenom akan menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Namun, nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu tidak tersenarai sebagai calon bagi kerusi Tenom pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Lima calon yang bertanding di Parlimen Tenom ialah Noorita Sual (PH), Jamawi Jaafar (BN), Ukim Buandi (Warisan), Riduan Rubin (Bebas), Peggy Chaw Zhi Ting (Bebas).

Pada masa ini, Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur berjaya menggantung hukuman penjara yang disabitkan terhadapnya atas kesalahan memalsukan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hukuman hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 dijatuhkan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu.

Berkemungkinan rekod hukuman yang dijalani menyebabkan proses penghantaran borang pencalonannya tidak diterima.

Semasa penamaan calon di Tenom pagi tadi, berlaku kekecohan di Pusat Penamaan Calon susulan pencalonan beliau tidak ditolak.

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa bertindak melepaskan gas pemedih mata bagi meleraikan penyokong Parti KDM yang berada di pekarangan Dewan DSP Antanom.