Penambahbaikan Maktab Sabah Sentiasa Dilakukan – Mohammad Arif

KOTA KINABALU: Pengalaman luas dan hubungan yang baik dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) serta kelebihan dilantik sebagai Focal Person Kebangsaan KPM dan Focal Person Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan digunakan untuk mencapai matlamat dan hasrat Mohammad Arif Tun Sakaran dalam membantu merealisasikan elemen Kemenjadian Murid dan Sekolah Berkualiti.

Mohammad Arif telah dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Maktab Sabah yang baharu bagi menggantikan Datuk Fatimah Shara Ahmad Noor dalam pemilihan Mesyuarat Agung PIBG Maktab Sabah Tahun 2022 yang berlangsung Sabtu lalu, 25 Jun.

Mohammad Arif juga berhasrat ingin membantu pihak sekolah dalam usaha menyediakan persekitaran dan kemudahan pembelajaran yang menyeronokkan seiring dengan kemajuan digital agar murid-murid mendapat manfaat khususnya di dalam bilik darjah.

Selain itu, beliau juga ingin membantu dari segi keperluan pentadbir dan guru-guru dengan kerjasama serta sokongan daripada ibu bapa dan komuniti agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta aktiviti kokurikulum dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan untuk meningkatkan kualiti pencapaian murid dalam semua bidang.

Di samping itu, beliau juga bersedia dan berusaha membantu untuk mencari jalan penyelesaian bagi merealisasikan usaha pihak sekolah dan perancangan AJK PIBG sebelum ini mengikut keperluan dan keutamaan secara berperingkat melalui permuafakatan.

Mohammad Arif telah dilantik sebagai Focal Person Kebangsaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2021, yang berperanan untuk membantu KPM dan JPN dalam meminimakan isu-isu pendidikan khususnya berkaitan keciciran di negeri Sabah selain menjadi wakil dalam menyampaikan suara dan penglibatan ibu bapa dan komuniti.

Beliau juga telah dipilih sebagai Pengerusi Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu yang berkonsepkan pengintegrasian sumbangan dari segi idea, kepakaran, pandangan dan tindakan bagi melestarikan peranan PIBKS menyokong pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

“Saya juga akan sentiasa bekerjasama dan bertanyakan pendapat serta pandangan daripada mantan YDP PIBG Maktab Sabah, iaitu Datuk Fatimah Shara dalam usaha penambahbaikan untuk manfaat Maktab Sabah kerana beliau adalah seorang yang berpengalaman luas dan sangat memahami perjalanan di sekolah ini.”