Penambahan Anggota Polis Diperlukan: Ketua Polis Sabah

1034

LABUAN: Kewujudan penempatan baharu penduduk memerlukan penambahan anggota polis bagi memastikan keselamatan dan kes jenayah dikawal sebaiknya.

Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata ianya (penambahan) perlu bagi memenuhi tugasan disemua kawasan baharu di daerah-daerah di Sabah termasuk Labuan.

“Daripada pelbagai siri latihan yang kita adakan, kita lihat ada keperluan penambahan anggota dan pegawai bagi memenuhi tugasan di penempatan baharu penduduk seperti di daerah dan pekan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan Asnaf di Plaza Berpayung Kompleks Sukan Laut Antarabangsa dekat sini semalam.

Namun katanya, meskipun kekurangan bilangan anggota polis ianya bukan menjadi satu kekangan dalam memberi perkhidmatan yang baik.

“Kekangan ini adalah satu cabaran yang yang boleh kita harungi demi negara dan keperluan masyarakat,” tambahnya.

Omar juga berkata, adalah menjadi fokus polis menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh integriti.

“Integriti amatlah penting sebagai anggota polis bagi mendapatkan kepercayaan rakyat…ianya adalah amanah,” katanya.

Omar berkata integriti harus ditekankan kepada semua anggota polis disemua. peringkat.

Sebelum itu, beliau melancarkan Kempen Pencegahan Jenayah dan Perangi Dadah peringkat Labuan 2020.

Labuan dijadikan sebagai lokaliti pertama kempen berkenaan sebelum diperluaskan ke daerah-daerah di negeri Sabah.

“Kempen adalah sebagai usaha melibatkan komuniti setempat dalam pencegahan jenayah dan perangi dadah dikawasan masing-masing,” katanya.