Penaiktarafan Sistem Saliran, Program Penanaman Buah

Oleh AZIS KHAN
BEAUFORT: Masyarakat Beaufort hari ini menerima suntikan keyakinan selepas Menteri Pertanian dan Industri Sabah, Datuk Junz Wong mengulangi komitmen Kerajaan Negeri Sabah mengatasi masalah yang dihadapi penduduk setempat.

Dalam sebuah kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Junz berkata kerja-kerja menaiktaraf sistem perparitan dan saliran di kawasan Beaufort akan dilaksanakan tahun ini.

“Kerajaan Negeri Sabah akan menaiktaraf parit, longkang dan sebagainya. Kerja-kerja ini penting untuk penduduk setempat, termasuk golongan usahawan tani juga, kerana hasil tanaman para petani terjejas akibat banjir. Kerajaan akan membantu golongan usahawan tani meningkatkan hasil tanaman,” kata Junz.

Beliau menambah, masyarakat usahawan tani Beaufort akan menerima manfaat Pelan Pembangunan Pertanian Sabah 2020 – 2030, khususnya melalui dua program khas.

“Yang pertama, Program Penanaman Buah-Buahan melibatkan tanah seluas 320 hektar yang akan dibangunkan oleh Korporasi Pembangunan Desa (KPD). Tanah ini akan diusahakan oleh masyarakat setempat secara contract farming di mana hasil tani yang diusahakan akan dibeli balik oleh KPD.”

“Yang kedua, Pusat Pengumpulan Buah-buahan yang akan dibina di kawasan berhampiran. Melalui pusat pengumpulan buah-buahan ini, hasil tani para pekebun akan dibeli oleh Kerajaan. Usahawan tani tidak perlu bimbang hasil tanaman gagal menemui pembeli.”

“Usaha-usaha ini akan mewujudkan industri downstream yang mampu menjana pelbagai pekerjaan baru. Ini rancangan dan usaha Kerajaan Sabah,” kata Junz.