Pemusatan Pejabat Pentadbiran Kerajaan Di Bawah Satu Bumbung Di Semporna

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Penubuhan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD) mempunyai peranan penting dalam memastikan pembangunan seimbang termasuk membabitkan bandar dan kampung.

Timbalan Ketua Menteri, merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan di Pejabat Daerah Semporna, di sini hari ini.

“Saya melihat JTPD ini penting untuk bertindak sebagai entiti yang dapat melaksanakan segala perancangan pembangunan.

“Ini termasuk berkaitan kemudahan prasarana, jalan raya, air, elektrik dan sebagainya,” katanya kepada media.

Selain itu katanya, melalui JTPD, kerajaan mampu mengatasi masalah pertindihan fungsi dan peranan setiap agensi kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Jaujan berharap JTPD dapat memberi satu impak besar terhadap pembangunan di Semporna dalam usaha menyediakan kehidupan rakyat lebih selesa.

“Dalam pada itu, kita tidak menolak akan mendirikan satu kompleks yang akan menempatkan semua agensi kerajaan di satu kawasan baharu, di sini.

“Ini kerana Semporna semakin pesat membangun terutamanya membabitkan sektor ekonomi, sekali gus memerlukan penstrukturan semula bangunan pentadbiran yang ada,” katanya.

Menurut Jaujan, JTPD bertanggungjawab dalam merancang penyediaan tanah supaya dapat memudahkan kelulusan serta perancangan dilakukan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

“Melalui cara ini, saya pasti kita dapat menyaksikan pembangunan seimbang dapat dilakukan bukan sahaja di peringkat negeri, tetapi sampai ke daerah dan kampung,” katanya.