Pemuda UPKO Tuaran Berdiri Teguh Bersama Parti dan Presiden

321


TUARAN : – Pergerakan Pemuda Pasok Momogun Kadazandusun Bersatu (UPKO) Bahagian Tuaran akan terus berdiri teguh dan taat setia kepada barisan pucuk kepimpinan parti.

Perkara itu disuarakan oleh ahli jawatankuasa tertinggi Pemuda UPKO Tuaran dalam satu mesyuarat di Pejabat UPKO Tuaran di sini, hari ini.

Ketua Pemudanya, Charles Jauti berkata, kesemua ahli berkeyakinan penuh dan menyatakan sokongan padu kepada UPKO yang diterajui Presiden Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

“UPKO yang ada sekarang sebenarnya lebih berdaya saing dan kini berada pada landasan yang lebih baik khususnya dalam memperjuangkan dan membela nasib rakyat.

“Segala perancangan dibuat secara terbuka dengan turut mengambil kira pandangan dan cadangan masyarakat di peringkat akar umbi,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat.

Charles berkata, parti UPKO bukan milik untuk segelintir individu sahaja, tetapi UPKO adalah parti untuk semua, parti untuk rakyat, dan mesra rakyat.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya tentang beberapa rakan kita di bahagian lain yang sudah tidak bersama dengan parti. Kita menghormati keputusan mereka, dan dalam masa yang kita juga sentiasa dengan tangan terbuka mengalu-alukan mereka sekiranya ingin “pulang” semula.

“Namun bagi kami serta ribuan ahli lain, kami masih bepegang teguh dan taat setia terhadap hala tuju perjuangan UPKO khususnya dalam membela nasib rakyat,” ujarnya sambil menyatakan bahawa persahabatan dengan mereka masih terjalin walau pun kini tidak sebumbung. -SS