Pemuda Dipenjara 4 Hari Ingkar MCO

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Seorang pemuda dijatuhi hukuman penjara empat hari selepas mengaku bersalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) di Mahkamah Majistret Tawau, di sini hari ini.

Tertuduh Mohd Ali, 19, didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 3, Jalan Apas, pada 29 Mac 2020 jam 8.45 malam.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, Mohd Ali didakwa keluar dari rumahnya di Batu 4 Jalan Apas pada jam 6 petang menuju ke Batu 3 mencari besi buruk untuk dijual bagi mendapatkan wang.

Sebelum keluar, ibu tertuduh menasihatkannya dari keluar rumah berikutan perlaksanaan MCO sejak 18 Mac lalu.

Bagaimanapun, tertuduh menjelaskan dia perlu mencari besi buruk untuk dijual bagi mendapatkan wang apatah lagi mereka tiada sumber pendapatan lain selain ibu dan bapanya tidak bekerja.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 7, Peraturan yang sama, memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Dzul Elmy Yunus menawarkan Mohd sama ada meneruskan perbicaraan atau mendapatkan khidmat Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membuat laporan penilaian akhlak memandangkan tertuduh adalah pesalah muda di bawah umur 21 tahun.

Bagaimanapun, Mohd meminta mahkamah meneruskan perbicaraan dan merayu untuk dibebaskan segera.

Dzul Elmy kemudian menasihatkan tertuduh untuk mematuhi MCO dan perlu berada di rumah.

“Saya tahu keperluan orang ramai untuk mencari duit apatah lagi dalam keadaan yang sukar ketika ini.

“Namun kamu perlu tahu jika dapat besi buruk sekali pun, tiada orang akan membelinya memandangkan MCO sedang dilaksanakan,” katanya.

Justeru, Dzul Elmy meminta tertuduh mematuhi arahan MCO dan memohon bantuan daripada ketua kampung atau ahli dewan undangan negeri (ADUN) bagi mendapatkan barangan keperluan.

Selepas mengambil kira hujah tertuduh dan kepentingan awam dalam mematuhi MCO, Dzul Elmy kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama empat hari dari tarikh ditahan ke atas tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Dayang Nur Azarinawaty Ag Kachee manakala tertuduh tidak diwakili peguam.