Pemuda Berdiri Teguh Sokong Shafie Diangkat Calon PM

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Sejak diumumkan menjadi calon Perdana Menteri pada Ahad, pelbagai sokongan diterima Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal daripada pemimpin, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan juga individu perseorangan.

Barisan kepimpinan Pemuda parti-parti kerajaan turut tampil menyatakan pendirian teguh untuk menyokong pencalonan Ketua Menteri Sabah itu menjadi Perdana Menteri.

Timbalan Wira Warisan Sabah, Mohd Ismail Ayob meminta pemimpin dari Sabah supaya mengenepikan fahaman politik dan sebulat suara menyokong cadangan sedemikian bagi mendapatkan penyelesaian pelbagai isu terutama berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, isu MA63 dan rakan sekutu yang selalu dibangkitkan pemimpin Sabah dan Sarawak akhirnya menemui jalan penyelesaian. Jadi mengapa tidak sambut baik cadangan ini.

“Pemimpin Semenanjung sudah menghulurkan tangan salam kepada kita dan pemimpin Sarawak juga senada dengan kita, jadi kenapa tidak sambut salam mereka.

“Saya minta pemimpin Sabah termasuk dari UMNO, BERSATU, PBRS mahupun PBS yang ada di Sabah ini ketepikan fahaman politik dan bulatkan hati kerana ini bukan soal Mohd Shafie dicalonkan sebagai PM tapi, ini adalah jalan penyelesaian bagi merungkai pelbagai isu di Sabah seperti hak-hak yang termaktub dalam MA63,” katanya semasa sidang media bersama dengan sayap Pemuda parti-parti kerajaan yang lain, di sini semalam.

Ismail berkata, kelayakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu sudah cukup terbukti kerana di arena politik antarabangsa beliau pernah terpilih mempengerusikan Commonwealth. Malah, beliau pernah berkhidmat dalam tujuh kementerian berbeza di peringkat persekutuan.

Turut berkongsi pendirian sama adalah Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Felix Joseph Saang.

Beliau melihat pencalonan pemimpin dari Sabah ini sebagai satu ruang dan peluang untuk memperjuangkan MA63 serta hak dan kepentingan rakyat Sabah.

“Bila pemimpin dari Sabah diangkat sebagai PM sudah tentu semua ini akan dapat dicapai. Saya ingat ini adalah impian dan aspirasi kita selama ini.

“Jadi saya tiada sebab untuk rakyat tidak menyokong penuh untuk mengangkat pemimpin Sabah sebagai PM,” ujarnya.

Ketua Pemuda AMANAH Sabah, Mohd Khairuddin Daud juga berkongsi pandangan yang sama iaitu menyokong sepenuhnya pencalonan Mohd Shafie sebagai PM Malaysia.

Katanya, mereka melihat ini sebagai satu perjuangan rakyat Sabah yang mana, beliau akan terus memperjuangkan MA63 dan suara anak-anak muda Sabah.

“Kami di peringkat Pemuda amanah 100 peratus menyokong dan akan mengajukan kepada kepimpinan kami di peringkat nasional bahawa kami bertegas supaya Mod Shafie diangkat sebagai calon PM Malaysia yang kesembilan,” jelasnya.

Kesemua kepimpinan sayap Pemuda parti-parti kerajaan ini termasuk Pemuda Sosialis Parti Tindakan Demokratik (DAPSY) akan terus berusaha mendapatkan lebih banyak sokongan dalam kalangan parti-parti politik di Sabah termasuk berbincang dengan rakan seperjuangan mereka di Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah.