Peminat Ikan Betta Sokong Langkah Pendaftaran

272
Antara ikan Betta yang menyertai Borneo Betta Tawau Vol 2, di sini, hari ini.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Peminat ikan betta atau lebih dikenali sebagai ikan laga menyambut baik usaha pendaftaran pemilikan haiwan tersebut oleh Jabatan Perikanan.

MOHD SHA

Peminatnya, Mohd. Sha Mohd., 35, berkata, pendaftaran pemilikan itu relevan selepas ikan betta semakin diminati ramai bukan saja di Malaysia tetapi negara jiran termasuk Indonesia dan Singapura.

“Jika kita lihat bilangan peserta untuk pertandingan ikan betta semakin bertambah sejak tiga tahun kebelakangan ini.

“Malah di Semenanjung, pertandingan akan diadakan setiap minggu dan mampu menarik ribuan penyertaan dalam satu masa,” katanya ketika ditemui dalam program Borneo Betta Tawau 2.0 (BBT2), di sini hari ini.

Tambahnya, jumlah penyertaan yang ramai itu menunjukkan sukan ikan betta semakin popular dan mampu setanding dengan e-games atau pertandingan kucing suatu masa nanti.

JOJOY JOPRI

Kenyataan itu turut diakui Jojoy Jopri, 33, yang menyifatkan pertandingan ikan betta bukan sekadar hobi semata-mata.

“Justeru, pendaftaran dan pengumpulan data berkaitan ikan betta oleh Jabatan Perikanan ini dilihat dapat membantu perkembangan industri ikan hiasan itu sendiri.

“Malah ikan betta mampu mendapat permintaan yang tinggi dari luar negara termasuk Singapura dan Brazil serta boleh dijual mencecah ratusan ringgit seekor,” katanya.

Tambah Jojoy, ia sekali gus menunjukkan potensi ikan betta sebagai sumber pendapatan ekonomi kepada individu dan negara.

SHAMEEM AHMAD

Seorang peserta BBT2 dari Selangor, Shameem Ahmad, 26, berharap dengan pengumpulan data yang ada, kerajaan dapat melihat potensi industri ikan Betta untuk dikomersialkan.

“Selain itu, saya juga berharap agar kerenah birokrasi membabitkan ikan betta tempatan dapat dipermudahkan bagi membolehkan penggiat atau pemain menyertai program seumpama ini pada masa akan datang.

“Misalnya, untuk menyertai pertandingan di Sabah, saya perlu memohon sebanyak tiga permit dan menunggu antara dua hingga tiga bulan lebih awal sebelum membawa ikan betta dari Semenanjung ke sini.

“Prosedur seperti ini perlu dilihat kerana ia menyukarkan penggiat seperti saya menyertai pertandingan di seluruh negara sekali gus menjejaskan perkembangan industri ini,” katanya.

Sementara itu, lebih 900 ikan Betta membabitkan 720 peserta menyertai BBT2 anjuran Persatuan Ikan Peliharaan Aquarium Tawau, di Plaza Eastern, semalam.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Ir Amrullah @ Ambrullah berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha pertandingan ikan betta selepas melihat potensinya yang besar untuk perkembangan ekonomi di daerah ini.

“Lebih membanggakan penganjuran selama dua hari sehingga esok ini turut mendapat penyertaan dari negara luar termasuk Singapura, Brunei dan Thailand,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalannya, Koh Kian Leong.