Pemimpin Warisan Lapor Polis Fitnah Terhadap Aidi

4010

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Satu laporan polis dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Papar terhadap dua akaun Facebook menggunakan nama Negara Borneo Utara dan Romaz Filipe (Rambo Azami) kerana memfitnah Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar.

Laporan polis itu dibuat oleh pemimpin-pemimpin Wira, Wirawati dan Wanita Parti Warisan Sabah (Warisan) bahagian itu pada pukul 3 petang ini bagi membersihkan nama Aidi daripada dicemari dengan fitnah berkenaan.

“Kami buat laporan ini berkaitan satu kenyataan berunsur fitnah serta hasutan terhadap Aidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis.

“Laporan ini kami buat untuk meminta polis menyiasat penulis tersebut agar dapat diambil tindakan sewajarmya dan membersihkan nama beliau,” kata salah seorang wakil mereka melalui laman Facebook Warisan Fan Club.

Sementara itu, kenyataan fitnah itu dimasukkan ke dalam Facebook Negara Borneo Utara pada pukul 10.08 malam semalam yang turut menggunakan gambar Aidi.

Kenyataan itu memfitnah Aidi kononnya beliau mahu mengiktiraf kaum Bugis dan Jawa sebagai Anak Negeri Sabah.

Facebook Romaz Felipe pula memfitnah pemimpin tersebut kononnya beliau akan memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menjadi gelendangan di Sabah.