Pemimpin Warisan Guna Duit Poket Bantu Mangsa Kebakaran

2937
Pemimpin Parti Warisan Sabah menyampaikan sumbangan duit poket sendiri kepada mangsa kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Lapan pemimpin Parti Warisan Sabah tampil mengeluarkan duit poket masing-masing bagi membantu semua keluarga mangsa kebakaran rumah di Kampung Pasir Putih Putatan hari ini.

Sumbangan berkenaan bertujuan meringankan beban yang ditanggung setiap mangsa yang kini tinggal sehelai sepinggang dan ditempatkan sementara di Dewan Putatan.

Pemimpin-pemimpin berkenaan adalah Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Ariffin Asgali; Pembantu Menteri Pendidikan dan Inovasi, Jennifer Lasimbang; Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Norazlina Arif; Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr. Daud Yusuf dan Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai.

Pemimpin Parti Warisan Sabah meninjau lokasi kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan.

Turut memberi sumbangan ialah Pembantu Menteri Kewangan, Ben Chong; Pembantu Menteri Pelancong dan Alam Sekitar, Assaffal P. Alian serta Ahli Parlimen Papar Ahmad Hassan.

Ariffin ketika ditemui pemberita selepas itu berkata, kerajaan akan melakukan yang terbaik membantu setiap mangsa termasuk menguruskan dokumen-dokumen yang terbakar dan gagal diselamatkan.

“Semua sedia maklum kita semua tahu betapa peritnya mengendalikan mangsa-mangsa ini jadi kita akan cuba sedaya upaya membantu mereka terutama perkara-perkara yang paling penting,” katanya.

Jennifer dan Norazlina memberikan kata-kata semangat kepada kanak-kanak yang kehilangan rumah keluarga mereka dalam kebakaran di Kampung Pasir Putih, Putatan.

Sementara itu, Uda berkata, jawatankuasa bencana alam daerah akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk menentukan penempatan yang sesuai kepada setiap mangsa.

” Buat masa ini komitmen untuk menggunakan dewan ini tidak ada kecuali khas untuk ini. Jadi saya yakin penuh mungkin mereka akan dibenarkan tinggal sini ikut kesesuaian masa dan keadaan yang difikirkan sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, Jennifer berkata, beliau telah menghubungi Jabatan Pendidikan untuk mendapatkan maklumat jumlah kanak-kanak yang terlibat dalam kebakaran agar bantuan persekolahan dapat disalurkan kepada mereka.

Menurut beliau, sebanyak 50 pelajar sekolah menengah telah dilaporkan terlibat dan kesemua mangsa itu akan mendapat bantuan berkaitan secepat mungkin.

BERITA BERKAITAN: –

Jangan Biarkan Mangsa Kebakaran Pasir Putih Putatan Susah

Kerajaan Sabah Jamin Bantuan Mangsa Kebakaran Dipercepatkan