Pemimpin Muda Parti Warisan Pertahankan Hak Rakyat Sabah – Azis

3828
Orang ramai yang hadir majlis kesyukuran Parti Warisan di Kampung Jaya Bakti, Libaran.

Oleh EZALL ROHAIZAD
LIBARAN: Suara anak muda Sabah semakin lantang bergema memperjuangkan hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.

Perjuangan ini adalah perjuangan kita semua untuk membela rakyat dan merubah nasib anak cucu kita di masa hadapan, kata Ketua Wira Parti Warisan Sabah, Azis Jamman.

“MA63 adalah perjanjian yang telah ditandatangani secara sah antara Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu. Ianya satu perjanjian yang sepatutnya telah terlaksana sejak Malaysia dibentuk secara bersama,” katanya pada satu majlis kesyukuran Parti Warisan Sabah di Kg. Jaya Bakti, kawasan parlimen Libaran baru-baru ini.

Malah, Azis dengan tegas dan lantang mencabar Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi tidak perlu memasukkan MA63 ke dalam manifesto Barisan Nasional di PRU ke-14 tetapi mengumumkan perlaksanaan MA63 serta merta.

“Memasukkan MA63 ke dalam manifesto BN merupakan satu penghinaan terhadap hak dan kepentingan rakyat Sabah.

Azis Jamman bersama Rabidin Awee, ketua jentera pilihanraya Parlimen Libaran.

“Apa maksudnya manifesto? Manifesto adalah janji pilihanraya parti politik yang memberi maksud bahawa jika rakyat memberikan parti politik itu kuasa melalui proses undi, janji-janji pilihanraya itu akan dilaksanakan.

“Namun demikian, hari ini UMNO/BN masih berkuasa kerana Perdana Menteri masih belum membubarkan dewan rakyat sedangkan di peringkat negeri UMNO/BN mempunyai kerusi melebihi majoriti 2/3 dalam Dewan Undangan Negeri.

“Oleh yang demikian, jika Najib atau Zahid ikhlas, bukankah hanya perlu mengumumkan perlaksanaan perjanjian MA63 dengan serta-merta memandangkan janji pilihanraya berkenaan MA63 seringkali dijanjikan oleh UMNO/BN setiap kali PRU di Malaysia.”

Pada PRU13 yang lepas, BN pernah menjanjikan akan melaksanakan perjanjian ini dan telah membentuk jawatankuasa bersama dengan Sabah dan Sarawak.

Namun sehingga hari ini tiada hasil dari jawatankuasa tersebut dan jelas ia hanya retorik pilihanraya UMNO/BN.

“Baru-baru ini sekali lagi Zahid memainkan dan memberi harapan palsu kepada rakyat Sabah dengan kononnya meletakkan MA63 sebagai salah satu manifesto UMNO/BN untuk Negeri Sabah.

SABRINA YAHYA

“Ianya satu penghinaan di tahap maksima terhadap hak dan kepentingan rakyat Sabah. Saya yakin rakyat Sabah sudah bijak menilai setiap janji UMNO/BN terutamanya bila ia melibatkan Perjanjian Malaysia 1963,” Azis berkata.

Jika Warisan diberi mandat memerintah, Perjanjian Malaysia 1963 akan dilaksanakan serta-merta tanpa kompromi kerana ianya perjanjian yang sah dan perlu ditunaikan. Ianya adalah hak setiap rakyat Sabah di Malaysia.

Sementara itu Ketua Wirawati Libaran, Sabrina Yahya berkata: “Penglibatan saya dalam perjuangan Parti Warisan Sabah adalah kerana inginkan perubahan.”

Pesannya kepada generasi muda agar tidak takut untuk membuat perubahan.

“Kalau bukan kita generasi muda yang memulakan, bagaimana nanti nasib generasi akan datang?”

Sabrina Yahya berkeyakinan tinggi Warisan akan mewarisi tampuk pemerintahan kerajaan negeri Sabah kelak.

“Kenapa kita (Warisan) menang hari ini kerana yang berdiri sekarang ini adalah generasi pemenang. Belum lagi buang undi, kita sudah menang kerana perjuangan anak muda Warisan berjuang bukan kerana faktor wang. Kita berjuang atas sebab mahukan perubahan di Sabah.”