Pemimpin Mesti Masuk Pedalaman Bela Orang Asal

Shafie Apdal bersama Huguan Siou, Pairin Kitingan ketika Sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2019 di KDCA.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Jika rakyat di pedalaman sukar untuk berjumpa dengan pemimpin, maka pemimpinlah yang sepatutnya turun padang berjumpa mereka.

Demikian peringatan diberi Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kepada setiap pimpinan negeri untuk memastikan rakyat di pedalaman terutama Orang Asal mendapat akses kepada perkhidmatan kerajaan.

Beliau berkata, pemimpin perlu memikul tanggungjawab itu supaya infrastruktur rakyat di pedalaman terutama dalam bidang pendidikan dilengkapkan kerana hanya dengan ilmu yang ada barulah setiap Orang Asal mampu memajukan bangsa masing-masing.

Shafie disambut oleh penari kebudayaan ketika tiba untuk merasmikan Sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2019.

Katanya, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan mewujudkan Kementerian Pelajaran dan Inovasi negeri untuk memastikan pembangunan sektor pendidikan dapat dilaksana secara berfokus dan dinikmati masyarakat di pedalaman.

“Bukan semua menteri bila datang ke Sabah dia terus pergi Tongod, terus pergi Sugut, terus pergi Beluran, sedikit sebanyak mana ada orang pergi Pensiangan berapa ramai orang pergi Long Pasia, bila saya pergi sekolah dia begitu daif bukan hanya hostel dia tandas tempat budak-budak mandi pun tiada.

“Bila saya buat lawatan ke kampung-kampung ini saya pastikan saya tengok kadang-kadang di sinilah kita sangat lemah, apabila orang-orang itu mereka tidak mampu berjumpa kita tapi kita harus berjumpa mereka apa sebenarnya infrastruktur yang telah diberikan kepada mereka ini yang kita nak,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2019 di KDCA hari ini.

Shafie memalu gong sebagai simbolik perasmian Sambutan Hari Orang Asal Sedunia 2019.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau; Huguan Siou, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan serta pimpinan kerajaan negeri.

Sepanjang program itu, satu forum turut diadakan yang membincangkan beberapa isu membabitkan Orang Asal dan memerlukan tindakan kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian.

Mengulas perkara itu, Mohd. Shafie berkata, beliau telah meminta bantuan beberapa pengamal undang-undang termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum serta Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar untuk mencari jalan penyelesaiannya.

Katanya, langkah terbaik perlu diambil kerana dalam usaha membangunkan ekonomi negeri, beliau tidak mahu ada mana-mana kaum Orang Asal yang ketinggalan sehingga menimbulkan konflik.

“Saya telah minta rakan-rakan saya bukan hanya Tan Sri Richard Malanjum, beberapa hakim yang ada termasuk yang sudah pencen dan beberapa orang tokoh dalam bidang undang-undang halusi perundangan yang ada di peringkat negeri Sabah supaya kita perkuatkan, dapat perjelaskan kalau ada kelonggaran dia umum sangat.

“Itu yang kadang-kadang orang bertelingkah bercanggah dan masa kita banyak untuk nak berbahas, masa kita hidup kita bergaduh pasal masalah-masalah seumpama ini walhal kita mahu hidupkan orang kita berikan kerja yang sama pentingnya kita menguasai ekonomi negeri ini tiada ertinya kalau kita hanya menyuarakan tetapi orang Murut masih lagi ketinggalan,” tegas beliau.