Pemimpin Masyarakat Disaran Bantu Usaha Perangi Elemen Subversif

LAHAD DATU: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Mohd Yusof Apdal mahu semua pemimpin masyarakat di daerah ini memberi kerjasama padu kepada pasukan keselamatan dalam kebersamaan mengatasi ancaman jenayah dan pengganas dari selatan Filipina.

Beliau berkata, ketua kampung, anggota jawatankuasa kampung serta pemimpin masyarakat di peringkat umbi bertanggungjawab memberi kerjasama kepada pihak keselamatan termasuk menyalurkan maklumat berkaitan.

YUSOF APDAL

“Perlunya kita berhati-hati terutamanya dengan ancaman pengganas di selatan Filipina kini agak membimbangkan…sebab itu sokongan daripada kita (pemimpin) perlu dalam memantau dan memastikan keselamatan Lahad Datu terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita dalam Program Membara 2017 di Tambisan dan sumbangan kepada 30 asnaf termasuk ibu tunggal dan warga emas di Tanjung Labian, Felda Sahabat dekat sini.

Beliau berkata pemimpin masyarakat pergi berganding bahu dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat demi memastikan kedaulatan Sabah tidak diganggu gugat oleh pihak luar.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu pemimpin di seluruh negeri dan agensi keselamatan khususnya di Sabah peka serta meningkatkan kawalan keselamatan sebagai langkah bagi mengelakkan berlaku sebarang perkara yang tidak diingini khususnya ancaman pengganas.

Saranan itu dibuat berikutan pertempuran antara tentera Filipina dan militan Daesh di Bandar Marawi, Mindanao di selatan Filipina.