Pemimpin DAP-Warisan Mangsa Tekanan Rejim Politik PN

KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah menyelar tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilihat menggunakan tekanan politik bagi menganiaya pemimpin Warisan dan DAP.

Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin berkata, kerajaan PN dibawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu menekan parti lawan dengan memfailkan kes-kes rasuah yang didakwa dilakukan oleh pemimpin DAP dan Warisan.

Pertuduhan terhadap Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada 7 Ogos lalu tidak mungkin hanya satu kebetulan.

“Kami mengesyaki PN sudah merancang lebih awal bagi menjatuhkan pembangkang demi untuk meraih lebih banyak sokongan. Malah, pembentukan gabungan yang mereka buat juga dilakukan secara tergesa-gesa bukan didorong atas manifesto perjuangan yang sama. Ia lebih kepada kepentingan individu.

“Jika dilihat pada minggu lalu, mereka gagal melakukan rampasan kuasa bagi menjatuhkan kerajaan Sabah di bawah pimpinan Warisan dengan menarik wakil rakyat Sabah menyokong Musa Aman.

“Minggu ini pula, mereka melakukan pertuduhan rasuah yang direka dan tidak berasas terhadap Lim Guan Eng dengan mendakwanya melakukan perbuatan itu semasa menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya tertanya-tanya apa lagi yang bakal keluar daripada mereka minggu depan?,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Melihat situasi yang dialami ini, penting bagi rakyat Malaysia terutama Sabah untuk bekerjasama menolak ugutan dan penganiayaan politik dengan memberikan mandat sekali lagi kepada Warisan-PH-UPKO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Tindakan sebegini penting bagi menghantar mesej jelas kepada PN bahawa rakyat Sabah tidak mudah diperbodohkan.

Chan, yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, sejak kebelakangan ini tekanan politik begitu ketara terutama sekali setelah langkah Sheraton pada Februari lalu.

Tambahnya, penganiayaan politik bukan hanya berlaku di Semenanjung Malaysia tapi juga di Sabah.

Pada Jun lalu, Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony dikejutkan dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Seksyen berkaitan projek pembangunan luar bandar.

Kemudian, beberapa wakil rakyat Warisan ketika itu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Masiung Banah dan Kemabong, Jamawi Jaafar diserbu oleh pasukan khas daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atas dakwaan tidak mengisytiharkan pendapatan sejak lima tahun lalu.

“Amat jelas bahawa PN memberi tekanan seolah-olah mereka tidak yakin untuk berdepan dengan pengundi. Mereka sanggup menggunakan taktik kotor bagi mendapatkan sokongan wakil rakyat pembangkang,” ujarnya.

Jika dilihat bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Tun Razak tidak mempunyai sebarang masalah bagi membayar sejumlah RM1juta selepas didapati bersalah di Mahkamah Tinggi atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram bernilai RM 42juta milik SRC International Sdn Bhd.

Namun, situasi amat berbeza dengan DAP yang terpaksa melancarkan kempen derma bagi mendapatkan bantuan orang ramai membayar ikat jamin Guang Eng kerana tidak mempunyai wang sebanyak Najib.